Home > Bahasa Melayu
Contohi Manifestasi Iman Luar Biasa Nabi Ibrahim
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah sempena Hari Raya Aidiladha Tahun 1437 Hijrah / 2016 Masihi, di Istana Nurul Iman.|FOTO: PELITA BRUNEI (Mohd. Sahrizal Haji Said)
September 12th, 2016 | 09:56 AM | 992 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Ahad, 11 September. - Aidiladha adalah salah satu syiar Islam yang agung di mana kisah kesanggupan Nabi Ibrahim 'Alaihissalam untuk menyembelih puteranya Nabi Isma'il adalah satu manifestasi iman yang luar biasa yang mustahak untuk dicontohi.
Allah Subhanahu Wata'ala telah menguji dua beranak ini dengan seberat-berat ujian, tetapi mereka telah berjaya melalui ujian tersebut.
''Kejayaan inilah yang dinamakan 'nikmat','' titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Raya Aidiladha Tahun 1437 Hijrah / 2016 Masihi, di Istana Nurul Iman, di sini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, peristiwa besar dan hebat itu mengandungi sebesar-besar hikmah dan pengajaran untuk umat Islam.
"Baik disedari atau tidak, kita orang-orang Islam, dari dahulu sampai sekarang, tidak putus-putus dari menerima ujian. Tujuan ujian itu ialah sebagai sebab untuk Allah mengurniakan nikmat-Nya kepada kita, andainya kita berjaya melalui ujian tersebut," titah baginda.
Ujian paling mencabar, biasanya, dikaitkan dengan akidah. Kerana apabila akidah rosak, maka harga kita selaku hamba Allah akan jatuh sejatuh-jatuhnya. Inilah yang dimahukan oleh makhluk iblis, supaya kita manusia ini ditimpa musibah rosak akidah.
Perkara ini telah pun dirakam oleh Allah melalui peristiwa yang dialami oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Isma'il 'Alaihimassalam, di mana iblis telah mencuba sedaya upayanya untuk memesongkan akidah dua beranak ini supaya mengingkari titah perintah Allah.
Sehubungan dengan itu, baginda bertitah, kita umat Islam pada hari ini, mustahaklah belajar dari peristiwa yang hebat ini, supaya jangan sekali-kali lupa terhadap usaha-usaha licik makhluk durjana iblis untuk merosakkan akidah dan pegangan hidup kita.
"Ingatlah, serangan-serangan iblis bukan berlaku secara fizikal, tetapi melalui berbagai jaringan atau rangkaian dalaman manusia," titah baginda.
Baginda menambah titah, kita hanya mengetahui serangan itu, apabila umat Islam sering-sering diasak oleh dakwaan-dakwaan yang tidak betul, seperti menganggap ugama Islam ketinggalan zaman atau hukum-hukumnya sangat menyusahkan dan lain-lain.
Jika dakwaan atau anggapan seperti ini turut dibenarkan oleh orang Islam sendiri, baginda bertitah, walaupun cuma setakat bisikan di dalam hati sahaja, maka itu pun sudah boleh dikhuatiri sebagai mencederakan akidah mereka.
Source:
@BRUDIRECT.COM
by Samle Haji Jait, Khartini Hamir
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]