Home > In The Court
Curi Peralatan Pancing : Dipenjara, Disebat
March 22nd, 2022 | 10:41 AM | 643 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Seorang lelaki warga tempatan dijatuhkan hukuman tiga tahun dan empat bulan penjara berserta dua kali sebatan, di bawah Seksyen 457 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 di Mahkamah Majistret, di sini.
Hukuman bermula 10 Februari 2022 ke atas Muhammad Rezal bin Meyasin dijatuhkan oleh Hakim Dayangku Hajah Norismayanti binti Pengiran Haji Ismail
Muhammad Rezal, berumur 33 tahun, didakwa melakukan kesalahan pecah masuk di sebuah kedai, Jalan Komersial Jaya Setia, Berakas, pada waktu malam, dengan tujuan untuk mencuri.
Dalam fakta kejadian, pada 25 Januari 2022, iaitu kira-kira jam 4.00 pagi, tertuduh bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas, iaitu 'A', pergi ke kedai tersebut menggunakan perahu dari Sungai Gadong menuju ke Sungai Berakas, dengan niat untuk mencuri.
Sebaik sampai di kedai tersebut kira-kira 4.56 pagi, tertuduh dan 'A' melonggarkan lampu mentol kawasan garaj belakang supaya kawasan tersebut gelap dan perbuatan mereka tidak diketahui.
'A' kemudiannya membuka pintu belakang kedai, sementara tertuduh mengawasi kedai tersebut. Mereka berdua kemudian memasuki kedai dan mencuri beberapa peralatan memancing ikan. Ini, termasuklah peralatan memancing jenama Shumano, Ecooda, Weihai, Sanglin, Abu Garcia, GTech, Pfluger Supreme, Xzoga, Magorcraft dan Sabel Dance, yang kemudiannya menyimpannya ke dalam perahu yang mereka gunakan dan terus meninggalkan kawasan berkenaan.
Pada hari yang sama, kira-kira jam 8.40 pagi, pihak Pasukan Polis Diraja Brunei terus menerima laporan dari kedai tersebut, di mana hasil siasatan mendapati, bahawa pintu masuk belakang kedai rosak dan barang-barang, termasuk joran juga dicuri.
Pihak Polis memaklumkan kepada Pengurus Kedai setelah memeriksa daripada rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) kedai tersebut dan akhirnya menahan tertuduh.
Tertuduh juga mengaku, bahawa beliau merupakan salah seorang yang dilihat dalam rakaman CCTV tersebut.
Menurut laporan, jumlah kerugian barang-barang yang hilang daripada kedai tersebut adalah bernilai BND8,318.10.
Kes tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syafina binti Haji Abd. Hadzid, di mana defendan dalam rekodnya juga pernah melakukan kesalahan yang lalu sebelum ini.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]