Home > In The Court
Rasuah : 2 Individu Didakwa
April 12th, 2022 | 10:52 AM | 1050 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Dua individu, warga tempatan, didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan secara dalam talian atas kesalahan, di bawah Akta Pencegahan Rasuah Penggal 131.
Timbalan Setiausaha Tetap, (Perkhidmatan Awam, Kesejahteraan, Antarabangsa dan Media), Jabatan Perdana Menteri, Awang Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu, yang merupakan Mantan Pengarah Radio Televisyen Brunei (RTB) didakwa melakukan kesalahan, di bawah Bab 6(a) Akta Pencegahan Rasuah kerana menerima suapan sebuah kereta mewah daripada seorang Penolong Ketua di Bahagian Berita dan Hal Ehwal Semasa, RTB, Jonathan Kho Chew Sen.
Manakala Jonathan Kho Chew Sen pula didakwa, di bawah Bab 6(b) Akta Pencegahan Rasuah kerana memberi suapan sebuah kereta mewah tersebut kepada Awang Haji Muhammad Suffian.
Siasatan yang dijalankan oleh Biro Mencegah Rasuah (BMR) menunjukkan, bahawa pada 17 Julai 2014, Awang Haji Muhammad Suffian, berumur 50 tahun, semasa berkhidmat sebagai Pengarah RTB, menerima sebuah kereta jenama Mercedes Benz C200 CGI AMG Sports daripada Jonathan Kho Chew Sen, berumur 45 tahun, yang pada waktu itu berkhidmat sebagai Penolong Ketua di Bahagian Berita dan Hal Ehwal Semasa, RTB sebagai dorongan atau ganjaran, bagi jaminan perlantikan Jonathan Kho Chew Sen tersebut sebagai Pemangku Ketua di Bahagian Berita dan Hal Ehwal Semasa, RTB.
Pendakwaan kes tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Suriana binti Haji Radin dan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Fitri binti Kiprawi.
Sementara itu, kedua-dua defendan tidak diwakili oleh peguam bela. Timbalan Pendakwa Raya membuat permohonan untuk pertuduhan dibacakan kepada kedua-dua tertuduh, tetapi tidak ada pengakuan diambil.
Kes ini ditangguhkan oleh Ketua Majistret Dayangku Hajah Norismayanti binti Pengiran Haji Ismail, dengan membenarkan defendan dilepaskan dengan ikat jamin Mahkamah sebanyak BND10,000.00 atau dua orang penjamin tempatan. Kes ini akan disebutkan semula, pada 25 April 2022.
BMR ingin mengingatkan kepada orang ramai, termasuklah pegawai-pegawai kerajaan dari peringkat bawahan hingga peringkat pegawai atasan tanpa mengira pangkat juga kedudukan mereka di mana jua mereka bertugas, bahawa menerima atau menawarkan rasuah kepada mana-mana orang adalah satu kesalahan yang serius, di bawah Bab 6 Akta Pencegahan Rasuah yang boleh dihukum, dengan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda sebanyak BND30,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]