Home > Bahasa Melayu
Jangan Terjebak Pada Penggunaan Ubat Terlarang
MENTERI Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof (kanan) semasa menyempurnakan penyerahan bendera negara kepada Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam, Awang Kifli bin Haji Jaafar (kiri). |FOTO: PELITA BRUNEI (Masri Osman)
September 20th, 2016 | 11:06 AM | 1193 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Isnin, 19 September. - Para atlet yang terpilih adalah diingatkan agar tidak terjebak dalam penggunaan ubat-ubatan yang terlarang dan tidak dikenal pasti yang boleh mengakibatkan atlet dibatalkan dari bertanding atau digantung dari menyertai sebarang pertandingan dalam tempoh yang ditetapkan.
Sebagai peringatan, para atlet juga perlu menjaga disiplin dan kondisi masing-masing sebelum serta semasa kejohanan khususnya dari aspek penjagaan kesihatan juga haruslah sentiasa fokus serta mempunyai semangat yang jitu bagi meraih kemenangan dan mengharumkan nama bangsa serta negara juga mencipta satu sejarah gemilang dalam perkembangan kecemerlangan sukan negara.
Perkara tersebut antara yang ditekankan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof dalam ucapan alu-aluannya pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Pantai Asia Ke-5, di Da Nang, Viet Nam yang diadakan di Bilik VIP Tingkat 1, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini.
Menurutnya, sukan memainkan peranan penting dalam mewujudkan suasana harmoni dan perpaduan dalam kalangan komuniti dan dapat mengeratkan hubungan kerjasama di antara negara-negara.
''Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa prihatin dan dalam hal ini telah memperuntukkan sejumlah besar kewangan bagi perkembangan sukan di Negara Brunei Darussalam dan memberikan peluang serta pendedahan yang berterusan bagi atlet-atlet negara menyertai kejohanan-kejohanan di dalam dan luar negara,'' jelasnya.
Penyertaan Negara Brunei Darussalam (NBD) ke Sukan Pantai Asia berprestij yang diadakan setiap dua tahun sekali itu terangnya merupakan satu sokongan dan komitmen berterusan negara dalam meningkatkan lagi hubungan negara dengan Negara-negara Asia yang lain ke arah memupuk persahabatan muhibah, mengekalkan perpaduan dan keamanan.
Di samping itu, kata Yang Berhormat lagi, ia juga merupakan platform yang boleh dimanfaatkan oleh atlet untuk saling kenal mengenali di antara satu dengan yang lain dan mengukuhkan jalinan persahabatan serta meningkatkan lagi integrasi dalam kalangan negara-negara Asia yang penduduk dan masyarakatnya terdiri dari berbagai bangsa, budaya, agama dan kepercayaan.
Menurutnya, bermula dari Sukan Pantai Asia pertama pasukan atlet Sukan Sepak Takraw telah menunjukkan peningkatan dalam meraih pingat pada kejohanan berkenaan di Sukan Pantai Asia Ke-4, 2014 yang telah diadakan di Phuket, Thailand, di mana pasukan negara berjaya meraih pingat emas dalam cara Trio.
Dalam pada itu, Yang Berhormat juga berharap melalui kejayaan ini akan dapat dijadikan pembakar semangat kepada pasukan untuk berusaha lebih gigih, di samping dapat mempertahankan kecemerlangan dan meningkatkan prestasi serta meraih lebih banyak kejayaan dalam kejohanan kali ini juga pada kejohanan-kejohanan yang akan datang.
Yang Berhormat juga yakin bahawa para atlet yang akan menyertai Sukan Pantai Asia Ke-5 selaku wira-wira negara akan dapat memberikan saingan hebat dan akan berjaya mempertahankan kejuaraan Sukan Pantai Asia Ke-4 yang lalu.
''Negara sama-sama mendoakan semoga atlet-atlet dan para pegawai yang menyertai rombongan ini akan sentiasa di dalam peliharaan Allah Subhanahu Wata'ala jua, sentiasa sihat sejahtera dan dapat bersaing dalam acara yang disertai dengan penuh semangat kesukanan dan seterusnya berjaya mengharumkan nama negara dan pulang ke tanah air dengan kejayaan,'' ujarnya lagi.
ROMBONGAN Kontinjen Negara Brunei Darussalam terdiri daripada Chef de Mission sendiri, enam orang atlet, seorang pengurus, seorang jurulatih dan seorang ahli fisioterapi dan para atlet tersebut akan mengambil bahagian dalam acara sukan Sepak Takraw.
Terdahulu, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bagi pihak Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Kontinjen NBD ke Sukan Pantai Asia Ke-5 turut menyembahkan ucapan setinggi menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas limpah kurnia perkenan baginda bagi NBD menyertai kejohanan Sukan Pantai Asia Ke-5 pada tahun ini.
Yang Berhormat juga turut menyembahkan setinggi junjung kasih di atas kurnia sabda yang dikurniakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC) pada Majlis Penyerahan Bendera ini yang akan dibacakan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Khartini Hamir
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]