Home > Bahasa Melayu
20.1 Peratus Kanak-Kanak Terima 2 Dos Vaksin
May 14th, 2022 | 09:31 AM | 328 views
BERAKAS
Sebanyak 270 kes baharu dilaporkan hari ini, iaitu 268 kes hasil daripada pengesanan Ujian Pantas Antigen (ART) dan dua kes adalah hasil daripada 280 Ujian Makmal RT-PCR yang dilakukan dalam tempoh masa 24 jam yang lalu.
Oleh itu, jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam (NBD) setakat ini ialah sebanyak 144,136 kes.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku wakil Menteri Kesihatan menyatakan perkara tersebut pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di NBD, yang berlangsung di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, statistik harian COVID-19 yang lain pula ialah, tidak ada kes yang dikategorikan dalam Kategori 5, iaitu mereka yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Intensif (ICU).
Sementara itu menurut Yang Berhormat lagi, satu kes sedang berada dalam Kategori 4, iaitu mereka yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.
Sebanyak 145 kes tambah Yang Berhormat, disahkan sembuh yang membawa jumlah kes yang sembuh kepada 142,318 kes.
Jumlah kes aktif pula terang Yang Berhormat, ialah sebanyak 1,598 kes, iaitu 16 kes sedang dirawat di hospital, manakala 1,582 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah.
Terdahulu, Yang Berhormat menjelaskan, setakat 12 Mei 2022, sebanyak 1,738 dos pertama vaksin diberikan kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun yang membawa kepada jumlah keseluruhan pemberian vaksin dos pertama kepada 30,948 dos, iaitu 72.1 peratus.
Manakala jelas Yang Berhormat, sebanyak 1,352 dos kedua vaksin COVID-19 diberikan kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun yang membawa kepada jumlah dos kedua yang diberikan kepada kanak-kanak dalam kumpulan umur ini kepada 8,542 dos, iaitu 20.1 peratus.
Sementara itu menurut Yang Berhormat lagi, liputan bagi rakyat dan penduduk negara ini yang mendapatkan tiga dos vaksin adalah pada kadar 68.0 peratus.
"Dalam masa 24 jam yang lalu, satu kes COVID-19 telah meninggal dunia dan kes tersebut tidak dikategorikan sebagai kematian disebabkan oleh COVID-19.
"Di kesempatan ini, saya mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat NBD mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah," ujar Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya menyatakan, sebagaimana Siaran Akhbar Kementerian Kesihatan yang dikeluarkan awal hari ini mengenai peningkatan kes Penyakit Kaki, Tangan dan Mulut (HFMD) dalam kalangan kanak-kanak di salah sebuah negara jiran, Kementerian Kesihatan ingin mengingatkan kepada orang ramai, khususnya para ibu bapa dan penjaga kanak-kanak untuk terus melakukan pelbagai langkah berjaga-jaga, terutamanya dalam memberikan penekanan terhadap kebersihan diri dan persekitaran serta mengelakkan daripada membawa kanak-kanak ke tempat yang penuh sesak.
"Marilah kita terus berdoa semoga NBD berserta seluruh rakyat dan penduduknya akan sentiasa terpelihara daripada segala musibah dan bencana wabak penyakit. Semoga kita sentiasa berada dalam perlindungan dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala jua. Amin Amin Ya Rabbal Alamin," jelas Yang Berhormat lagi.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]