Home > Bahasa Melayu
Fasa Awal Endemik Berakhir 31 Mei Ini
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di D
May 25th, 2022 | 11:41 AM |
301 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Jawatankuasa Pandu COVID-19 dengan ini memaklumkan bahawa Fasa Awal Endemik (Early Endemic Phase) di bawah Rangka Kerja Pelan Pemulihan Kebangsaan COVID-19 yang akan berakhir pada Selasa, 31 Mei 2022 akan ditamatkan dan tidak akan diteruskan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah menjelaskan, bermula pada Rabu, 1 Jun 2022, garis panduan langkah-langkah pengawalan COVID-19 akan dikemaskinikan.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, garis panduan langkah-langkah pengawalan COVID-19 adalah tidak ada sebarang had dikenakan bagi perkumpulan ramai (sama ada yang diadakan di rumah / kediaman persendirian atau dewan); semua aktiviti kesukanan termasuk pertandingan atau perlawanan adalah dibenarkan dengan tidak ada had dikenakan bagi jumlah kehadiran penonton; dan penyajian makanan bagi apa juga acara di mana-mana premis adalah dibenarkan tanpa sekatan, termasuk penyajian makanan secara bufet.
Selain itu jelas Yang Berhormat, tidak ada sekatan had umur bagi para jemaah yang hadir di masjid bagi Sembahyang Fardu Jumaat dan sembahyang fardu lima waktu. Oleh itu, kanak-kanak di bawah umur 12 tahun adalah dibenarkan untuk hadir ke masjid.
Walau bagaimanapun tegas Yang Berhormat, syarat penggunaan tikar sembahyang sendiri semasa Sembahyang Fardu Jumaat dan sembahyang fardu lima waktu adalah dikekalkan.
Yang Berhormat seterusnya berkata, nasihat-nasihat kesihatan adalah dikemas kini seperti sungkup muka hendaklah dipakai jika berada di dalam bangunan awam, pemakaian sungkup muka di luar bangunan juga digalakkan terutamanya jika dalam keadaan penuh sesak, penggunaan Ujian Pantas Antigen (ART) turut digalakkan sebelum menghadiri acara dan pada bila-bila masa ketika berasa kurang sihat atau mempunyai tanda-tanda jangkitan dan pemeriksaan suhu badan untuk masuk ke premis-premis tidak lagi dimestikan.
"Perubahan ini adalah mengambil kira kepada keadaan jangkitan harian COVID-19 di Negara Brunei Darussalam (NBD) yang stabil, kadar vaksinasi bagi dos ketiga (dewasa dan remaja) termasuk kadar vaksinasi kanak-kanak yang tinggi, dan kes-kes jangkitan yang teruk (severe cases) serta kadar 'bed occupancy' di Pusat Pengasingan adalah rendah.
"Justeru itu, kita dapat kembali kepada keadaan kehidupan sebelumnya dengan penerapan norma baharu dalam kehidupan seharian kita," ujar Yang Berhormat pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di NBD yang berlangsung di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini.
Menurut Yang Berhormat lagi, pencapaian ini adalah berkat kerjasama semua pihak terutamanya rakyat dan penduduk NBD yang sentiasa berganding bahu mematuhi garis panduan kesihatan, termasuk sokongan berterusan semua pihak kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan NBD dalam sama-sama memikul tanggungjawab masing-masing.
Dalam hal ini jelas Yang Berhormat, pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan protokol kesihatan hendaklah diteruskan, sebagaimana yang telah dinyatakan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]