Home > Bahasa Melayu
223 Kes Sembuh, 1,633 Kes Aktif
May 25th, 2022 | 11:44 AM |
301 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Pemangku Menteri Kesihatan memaklumkan bahawa sebanyak 234 dos pertama vaksin telah diberikan kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun pada Isnin, 23 Mei 2022 yang membawa kepada jumlah keseluruhan pemberian vaksin dos pertama kepada 33,809 dos, iaitu 78.8 peratus bagi kanak-kanak dalam kumpulan umur tersebut.
Manakala, sebanyak 985 dos kedua vaksin COVID-19 telah diberikan kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun yang membawa kepada jumlah dos kedua yang diberikan kepada kanak-kanak dalam kumpulan umur berkenaan kepada 16,439 dos, iaitu 38.3 peratus.
Dalam pada itu jelas Yang Berhormat, liputan bagi rakyat dan penduduk negara ini yang telah mendapatkan dua dos vaksin ialah sebanyak 98.6 peratus. Manakala, sebanyak 69.7 peratus telah mendapatkan dos ketiga vaksin.
"Sebanyak 246 kes baharu telah dilaporkan, iaitu 245 kes adalah hasil daripada pengesanan Ujian Pantas Antigen (ART) dan satu kes adalah hasil daripada 454 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam tempoh masa 24 jam yang lalu," ujar Yang Berhormat pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam (NBD) yang berlangsung di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini.
Oleh itu tambah Yang Berhormat, jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan di NBD setakat ini ialah sebanyak 147,021 kes.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, tidak ada kes yang dikategorikan dalam Kategori 5, iaitu mereka yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Intensif (ICU) dan tidak ada kes sedang berada dalam Kategori 4, iaitu mereka yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.
Jelas Yang Berhormat lagi, sebanyak 223 kes disahkan sembuh yang membawa jumlah kes yang sembuh kepada 145,166 kes.
Yang Berhormat seterusnya menambah, jumlah kes aktif pula ialah sebanyak 1,633 kes, iaitu 12 kes sedang dirawat di hospital manakala 1,621 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah.
"Marilah kita terus menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan kesihatan seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei. Darussalam agar negara kita sentiasa di dalam keadaan aman dan sejahtera lagi dirahmati oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala jua. Aamiin Aamiin Ya Rabbalalamin," kata Yang Berhormat.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]