Home > Bahasa Melayu
Piala FA 2022 Bermula 6 Ogos
June 8th, 2022 | 09:20 AM |
612 views
BERAKAS
Piala FA 2022 yang bermula pada 6 Ogos dan dijangka berakhir pada 27 November nanti akan menentukan wakil Pasukan Bola Sepak Negara Brunei Darussalam yang akan bersaing dalam Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2023.
Exco Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD) selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pertandingan Bola sepak, Awang Morni bin Haji Zakaria berkata, berikutan pembatalan Liga Super Brunei pada tahun lepas disebabkan wabak COVID-19 yang melanda negara ini, pihak Pertandingan FABD mengambil inisiatif dengan menganjurkan Piala FA bagi Tahun 2022.
"Liga Super Brunei tidak dapat dijalankan kerana tidak cukup masa untuk kita menghabiskannya.
''Oleh itu, bagi membolehkan kita memilih wakil negara ke Piala AFC pada tahun hadapan, maka kita hanya boleh mengadakan Piala FA, pada tahun ini," katanya pada Sidang Media yang berlangsung di Rumah FABD, di sini.
Beliau menambah, format perlawanan adalah peringkat kumpulan, pusingan 16 suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir.
"Sebanyak 32 pasukan akan menyertai kejohanan berkenaan. 15 pasukan dari Division 1, iaitu Liga Super Brunei dan 17 Pasukan dari Liga Daerah yang dikategorikan dalam Division 2 mengikut kuota yang telah diberikan," ujar beliau.
Walau bagaimanapun, katanya terdapat perubahan bagi kuota penyertaan pasukan tersebut.
Dari Daerah Tutong, lima pasukan bersetuju untuk menyertai Piala FA, iaitu Azmain Shah FC; Bang Dalam FC; Tutong Hotspur FC; Pertama FC; dan Tutong Bawah 20 Tahun.
Manakala Persatuan Bola Sepak Daerah Belait tidak dapat memenuhi lima kuota yang diberikan dengan hanya mencalonkan empat pasukan, iaitu Hoist FC; HR FC; Nelayan FC; dan Hawa FC.
Sementara itu, satu pasukan dari Daerah Temburong akan menyertai piala tersebut, iaitu Lun Bawang FC.
Beliau menjelaskan, Persatuan Bola Sepak Brunei dan Muara belum lagi menghantar senarai nama pasukan memandangkan ia diberi enam kuota, namun akan menghantar tujuh pasukan, di mana satu kuota diambil dari Persatuan Bola Sepak Daerah Belait.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, juara bagi kejohanan ini akan menerima hadiah wang tunai sebanyak BND10,000, manakala naib juara akan membawa pulang hadiah wang tunai BND7,000.
"Para penyokong yang akan hadir menyaksikan perlawanan Piala FA ini bermula 6 Ogos nanti, perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah disarankan oleh pihak Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, termasuk memakai sungkup muka dan menjalani ART sebelum menghadiri perlawanan," katanya.
Bermula 1 Jun 2022, semua aktiviti sukan, termasuk pertandingan serta perlawanan adalah dibenarkan dan tidak ada had dikenakan bagi jumlah kehadiran penonton selepas penamatan Fasa Awal Endemik dan pengemaskinian garis panduan, di bawah Rangka Kerja Pelan Pemulihan Kebangsaan COVID-19.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]