Home > Bahasa Melayu
130 Pain Darah Berjaya Dikumpul
June 23rd, 2022 | 12:19 PM |
111 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Kumpulan Syarikat Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) terdiri daripada Perbadanan TAIB, Insurans Islam TAIB Holdings Sendirian Berhad (IITHSB), Darussalam Holdings Sendirian Berhad (DHSB) dan Stesen Minyak TAIB Sendirian Berhad hari ini mengadakan Kempen Derma Darah bersempena Hari Penderma Darah Sedunia.
Sebanyak 130 pain darah berjaya dikumpulkan terdiri daripada penyertaan daripada pegawai dan kakitangan kumpulan syarikat serta orang awam pada kempen tersebut.
Hadir semasa kempen yang diadakan di Concourse Area, The Airport Mall ialah Pengarah Urusan TAIB, Datin Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim; Pengarah Urusan IITHSB, Dayang Hajah Nornaimah binti Haji Zainip; Pemangku Pengarah Urusan DHSB, Pengiran Hajah Noraini binti Pengiran Haji Sablon dan Timbalan Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, Awang Haji Osman bin Haji Md. Jair.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Urusan Perbadanan TAIB menjelaskan bahawa Kempen Derma Darah ini adalah inisiatif dari Kumpulan Syarikat Perbadanan TAIB, bagi menjemput dan menggalakkan kalangan semua kakitangan syarikat serta orang ramai dalam meningkatkan lagi simpanan tabung darah negara.
"Perkara ini disebarkan kepada semua kakitangan di bawah Kumpulan Syarikat Perbadanan TAIB, agar mereka berasa pentingnya untuk bertindak bagi menderma darah serta sama-sama membantu mereka yang memerlukan kerana setiap darah yang diderma boleh menyelamatkan nyawa seseorang," ujarnya.
Menurutnya, inisiatif kempen ini juga adalah sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial dan bagi pihak Kumpulan Syarikat Perbadanan TAIB ingin mengucapkan penghargaan kepada Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) serta Ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam dalam sama-sama melancarkan kempen ini.
Kempen ini juga bertujuan untuk menyemai konsep dan budaya kerja amal agar dapat mengekalkan bekalan darah yang mampan.
Di samping itu, kempen ini juga mencerminkan kesungguhan Kumpulan Syarikat Perbadanan TAIB untuk mempromosi dan meningkatkan gaya hidup sihat kerana pendermaan darah merupakan faktor utama dalam mengatasi beberapa masalah kesihatan.
Bagi memastikan keselamatan penderma darah, langkah berjaga-jaga masih diperketatkan dengan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan.
Kumpulan Syarikat Perbadanan TAIB bercadang untuk mengadakan lebih banyak Kempen Derma Darah pada masa akan datang dengan harapan ia akan turut memberi inspirasi kepada masyarakat untuk menderma darah bagi tujuan untuk menyelamatkan nyawa.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]