Home > Bahasa Melayu
Insiden Tanah Susur Disebabkan Hujan
KEJADIAN tanah susur telah berlaku berdekatan Rumah Panjang Kampung Tanjung Bungar
June 27th, 2022 | 13:07 PM | 188 views
TEMBURONG
Insiden kejadian tanah susur yang terjadi baru-baru ini, berdekatan Rumah Panjang Kampung Tanjung Bungar dipercayai disebabkan oleh keadaan cuaca aktif (hujan) yang kerap berlaku, pada ketika ini.
Berikutan kejadian itu, seramai enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dan sebuah jentera, diketuai oleh ASO Haji Yussof bin Haji Jerudin dari Balai Bomba Bangar dikejarkan ke insiden tersebut.
Semasa tiba di tempat kejadian, didapati tanah susur sejauh dua meter berdepanan rumah panjang berkenaan.
Anggota JBP segera bertindak dengan memasang empat helai kanvas, di kawasan yang terjejas, seterusnya memaklumkan perkara tersebut kepada pihak Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan bagi tindakan selanjutnya.
Walau bagaimanapun, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa berlaku semasa kejadian.
Hadir di tempat kejadian, Stesen Komander Balai Bomba Bangar, SO Jamaludin bin Ahmad.
Oleh itu, pihak JBP ingin menyarankan kepada orang ramai agar sentiasa memantau keadaan kawasan atau tanah sekeliling rumah awda dan tanah bukit yang berdekatan.
Sentiasa bersedia untuk sebarang tindakan jika mendapati dan terdapat hakisan tanah yang mula menampakkan keruntuhan serta untuk keselamatan, tinggalkan / kosongkan rumah jika sudah ternyata membahayakan nyawa.
JBP ada menyediakan program-program keselamatan, seperti Kursus Fire Marshall, Life Saver 995 dan Taklimat keselamatan kebakaran bagi mengetahui aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul bagi penggunaan Alat Pemadam Api.
Jika berlaku sebarang insiden kecemasan, hubungi Talian Kecemasan JBP 995 dan memberikan maklumat tepat.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]