Home > Bahasa Melayu
Bersama Membanteras Kegiatan Dadah
June 27th, 2022 | 13:22 PM | 473 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Semua golongan masyarakat di Negara Brunei Darussalam (NBD) diingatkan supaya sama-sama bertanggungjawab membanteras dan mencegah kegiatan dadah, di negara ini.
Dalam konteks ini, agensi-agensi kerajaan, orang ramai, ibu bapa, pihak sekolah, organisasi bukan kerajaan dan pemimpin akar umbi hendaklah bersatu tujuan bagi memupuk kesedaran serta peka terhadap masalah gejala sosial yang boleh mengancam masa depan negara.
Justeru, adalah penting agar masyarakat berganding bahu membantu dalam pembanterasan kegiatan sindiket dadah haram.
Bagi Memperingati Sambutan Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram tahun ini, iaitu 'Cegah Bersama, Negara Bahagia', acara bagi sambutan tersebut diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Pada tahun 1987, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan tarikh 26 Jun sebagai Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram.
Ia dipilih bersempena dengan persidangan antarabangsa mengenai penagihan dan pengedaran dadah, yang berlangsung di Vienna Austria.
Untuk itu, semua negara ahli adalah disaran untuk meraikan Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram, tidak terkecuali NBD.
Tema rasmi yang dikeluarkan oleh United Nations Office on Drug and Crime (UNODC) bagi Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram bagi Tahun 2022, ialah 'Care in Crises', iaitu hala tuju di peringkat transnasional yang diambil oleh UNODC, dalam menangani cabaran dadah dalam situasi dunia mengalami krisis kesihatan dan kemanusiaan.
Acara kemuncak sambutan adalah perasmian dan pelancaran video klip 'Tekad Biro Kawalan Narkotik' dan 'Adang Tah'.
Ini diikuti dengan lagu 'Tekad Biro Kawalan Narkotik', dicipta khas untuk dijadikan jentera, dalam menyuntik semangat keberanian dalam menjalankan tugas harian kepada warga kerja Biro Kawalan Narkotik (BKN). Pelantun suara untuk lagu ini adalah terdiri daripada Pegawai BKN sendiri.
Diteruskan dengan lagu 'Adang Tah' berirama rap kontemporari. Seni kata lagu pula ditulis menggunakan bahasa Brunei mengisahkan perjalanan kehidupan seorang pengguna dadah; dari sebelum mengenali dadah hingga terjebak dan kemudiannya berusaha untuk kembali ke jalan benar.
Adalah diharap lagu tersebut memberi kesan kepada belia-belia agar menghindari dadah kerana sekali terlibat, jalan untuk pulih dan diterima masyarakat adalah sukar, tetapi tidak mustahil.
Pada majlis itu, tetamu kehormat majlis juga melawat pameran dari Divisyen Pendidikan Pencegahan Dadah, BKN; Unit Perhubungan Awam, BKN; Pusat Al-Islah, BKN; Unit Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak, Pasukan Polis Diraja Brunei; BKN; Jabatan Keselamatan Dalam Negeri; Jabatan Kastam dan Eksais; Jabatan Penjara; Unit Anti-Tembakau, Pusat Promosi Kesihatan; Persatuan BASMIDA; dan Majlis AIDS Brunei Darussalam.
Terdahulu, Sambutan Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram 2022, yang dimulakan dengan acara keagamaan.
Majlis diadakan pada 23 Jun lalu, di Ibu Pejabat BKN, Jalan Tungku, Gadong.
Tetamu kehormat majlis tersebut, Pengarah BKN dan dihadiri oleh Pegawai-pegawai Kanan serta wakil-wakil dari Divisyen, Bahagian Daerah dan Unit-unit, BKN.
Pengisian acara keagamaan itu dimulai dengan Sembahyang Hajat Berjemaah, membaca Surah Yaa Siin, Selawat Tafrijiah serta Doa Selamat, semoga NBD dilindungi dari anasir dadah yang boleh menggugat dan keselamatan negara.
Seterusnya, Khutbah Sembahyang Fardu Jumaat bersempena Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram 2022 juga dibacakan di seluruh masjid dan surau di negara ini, pada 24 Jun 2022.
Bagi menyemarakkan Sambutan Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram 2022, penyalaan lampu di Jambatan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien (Jambatan SOAS) dan Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (Jambatan RIPAS) dengan cahaya lampu berwarna hijau dan putih berjalan pada 20 hingga 30 Jun 2022 ini, dari jam 6.30 petang hingga 12.00 tengah malam.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]