Home > Bahasa Melayu
Doa Senjata Orang Mukmin
YANG Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyertai Malam Munajat minggu ke-41 secara maya.
June 27th, 2022 | 13:26 PM | 308 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Doa adalah senjata orang mukmin. Selaku umat Islam, kita adalah sangat-sangat dituntut memperbanyakkan berdoa dan memohon keampunan serta memunajat kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Justeru itu, program Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dihasratkan akan dapat mengajak orang ramai untuk sama-sama bermunajat, beristighfar, membaca Surah Yaa Siin serta membasahi lidah dengan berzikir memuji keagungan Allah dan merafakkan doa beramai-ramai secara serentak semoga rakyat dan Negara Brunei Darussalam (NBD) terselamat daripada segala bala bencana dan penyakit merbahaya, khususnya wabak COVID-19.
Program Malam Munajat bagi minggu ke-41 diteruskan lagi secara maya malam tadi dengan menyaksikan penyertaan warga Kementerian Pendidikan bersama ahli keluarga masing-masing.
Juga menyertai acara tersebut ialah para jemaah dari masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara.
Bersama menyerikan Malam Munajat, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr. Awang Haji Azman bin Ahmad, diikuti dengan bacaan Surah Yaa Siin beramai-ramai dipimpin oleh Pegawai Ugama Universiti Islam Sultan Shariff Ali (UNISSA), Pengiran Mohammad Daud bin Pengiran Matassan, dari Surau Asy-Syafi'i, UNISSA.
Bagi memohon keampunan dari Allah Subhanahu Wata'ala agar NBD terhindar daripada bala bencana serta penyakit merbahaya khususnya COVID-19, Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahhuddin, dari Masjid Kampung Lambak, Berakas.
Acara juga diserikan dengan tazkirah bertajuk 'Tarbiyah Di Sebalik Ibadah Haji' disampaikan oleh Penolong Pensyarah Fakulti Syariah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Haji Md. Syahiran bin Haji Md Sofian, dari Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Jangsak.
Selesai tazkirah, bacaan Asma'ul Husna dan Selawat dipimpin oleh Ketua Unit Rohani, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Muhammad Zainuddin Shah bin Talip, bersama para pegawai dan kakitangan Jabatan Pendidikan Kokurikulum dari Masjid Universiti Brunei Darussalam.
Bagi memberkati lagi acara, bacaan Doa Peliharakan Sultan dan NBD dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Kampung Pulaie, Awang Mohd Zakaria bin Haji Mohd Salleh, dari Masjid Kampung Pulaie.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang; dan Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman; Ra'es KUPU SB dan pengarah-pengarah serta pegawai-pegawai kanan KHEU.
Orang ramai boleh menyertai Malam Munajat dari mana juga berada pada setiap Sabtu, dengan melayari pautan 'http://tiny.cc/munajatkheu' atau mengikuti secara langsung melalui Instagram Pusat Da'wah Islamiah '@pdi_kheu'.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]