Home > In The Court
Tinggal Lebih Masa : Dipenjara, Disebat
June 30th, 2022 | 11:27 AM | 627 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Seorang lelaki, warganegara Indonesia, dijatuhkan hukuman tiga bulan penjara dan tiga kali sebatan, di bawah Seksyen 15 (1) Akta Imigresen, Penggal 17.
Defendan, Priyo Wasono, berumur 26 tahun, didakwa melakukan satu pertuduhan kerana tinggal lebih masa di Negara Brunei Darussalam tanpa alasan yang munasabah setelah Pas Kerja mansuh bagi tempoh selama 251 hari.
Majistret Harnita Zelda Skinner menjatuhkan hukuman tersebut ke atas defendan, di Mahkamah Majistret, di sini.
Pada 25 Jun 2022, defendan sendiri menyerahkan diri ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) untuk melaporkan, bahawa beliau melarikan diri daripada majikannya.
JIPK menjalankan siasatan, di mana mendapati bahawa defendan kali terakhir memasuki ke negara ini pada 16 Oktober 2019 sebagai Pembantu Rumah yang ditaja oleh majikannya, seorang lelaki, warganegara tempatan.
Pas Kerja defendan dilanjutkan hingga 16 Oktober 2021. Walau bagaimanapun, pada Jun 2021, defendan melarikan diri daripada majikannya dan memulakan pekerjaan secara tidak sah (haram).
Majikan defendan melaporkan perkara tersebut dan menyerahkan pasport defendan ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, JIPK, pada 17 Julai 2021.
Dalam rekod, defendan tidak ada mempunyai kesalahan lalu dan ini merupakan kesalahan pertama, di bawah Akta Imigresen.
Pendakwaan tertuduh dijalankan oleh pihak Pendakwa Raya, di JIPK, Adi Yusra bin Haji Adnan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]