Home > In The Court
Akibat Cemburu : Suami Dipenjara, Sebat
July 4th, 2022 | 13:28 PM | 1002 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Gara-gara cemburu, seorang suami dijatuhkan hukuman penjara setahun dan tiga kali sebatan oleh Mahkamah Majistret, di sini kerana menggunakan pedang Katana yang disyaki menyalahi undang-undang di khalayak ramai.
Defendan Muhammad Alinur Saifullah bin Junia'an, 28 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut tetapi memohon kelonggaran berikutan dengan keadaan masalah keluarganya.
Majistret Kanan, Hajah Azrimah binti Haji Abdul Rahman, antara lain dalam mempertimbangkan hukuman berkata bahawa walaupun defendan adalah pesalah pertama, ia perlu mengambil kepentingan awam di mana 'membawa pisau atau senjata di khalayak ramai dan boleh membahayakan orang awam'.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Firdaus bin Haji Mohammad telah mendedahkan di mahkamah bahawa kejadian tersebut berlaku pada 30 Jun 2022, jam 8.00 pagi apabila defendan menjawab panggilan telefon daripada isterinya yang memberitahu bahawa dia pergi seorang diri ke sebuah restoran untuk mendapatkan makanan di Kampung Keriam.
Kerana curiga, defendan telah mengikutnya ke restoran tersebut dan mendapati isterinya duduk satu meja bersama lelaki lain, yang dikenalinya sebagai teman rakannya.
Defendan mengeluarkan pedang Katana dari keretanya lalu menuju ke tempat isterinya dan teman rakannya itu duduk.
Isteri defendan dan teman rakannya cuba menenangkan defendan dengan menjelaskan bahawa isterinya hanya datang berjumpa untuk menjelaskan hutang.
Apabila mendengar penjelasan dan melihat seorang kakitangan meluru ke dapur kerana ketakutan, defendan kembali ke keretanya untuk menyimpan pedang Katana dan kembali ke restoran.
Laporan polis telah dibuat oleh orang awam yang menyaksikan kejadian itu, membawa kepada penahanan defendan.
Ketika dalam siasatan, defendan menjelaskan dia membawa pedang Katana di dalam keretanya bagi kecemasan kerana pernah di patuk ular pada tahun lepas.
Defendan mengakui bahawa tindakannya semasa menggunakan pedang tersebut di khalayak ramai adalah menyalahi undang-undang.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]