Home > In The Court
Padah Beri Rasuah
July 21st, 2022 | 11:07 AM | 1247 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Dua individu didakwa di hadapan Mahkamah Majistret bagi kesalahan, di bawah Akta Pencegahan Rasuah, Penggal 131.
Seorang warga Filipina, Argel Sanchez David (Defendan), berumur 30 tahun, mengaku bersalah bagi kesalahan, di bawah Bab 6(b) Akta Pencegahan Rasuah, manakala Chin Chee Vun, berumur 52 tahun, mengaku tidak bersalah dan akan dihadapkan untuk perbicaraan kerana bersubahat dengan kesalahan tersebut.
Siasatan Biro Mencegah Rasuah (BMR) yang dijalankan adalah hasil daripada aduan yang diterima dari Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Kementerian Kewangan dan Ekonomi mengenai aktiviti rasuah di Pondok Pengawal dan Pejabat Pos, di Muara, berhubung dengan pengisytiharan palsu bagi barangan-barangan.
Siasatan yang dijalankan oleh BMR mendapati, bahawa Defendan pergi ke Pondok Pengawal Kastam dan Pejabat Pos Pelabuhan Muara, bagi menyelesaikan Borang Pengisytiharan yang diperlukan bagi barang konsainan.
Selepas menerima Borang Pengisytiharan yang ditandatangani oleh Pegawai Kastam, Defendan menuju ke Kaunter Pembayaran Pegawai Pemeriksa Kastam bertugas. Defendan kemudian meletakkan wang tunai berjumlah BND20 di atas kaunter pembayaran, di kaunter pembayaran kepada Pegawai Pemeriksa Kastam sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya atas sebarang pelanggaran yang berkaitan dengan pengisytiharan kastam.
Defendan mengaku, bahawa dia dihasut untuk memberikan wang tunai berjumlah BND50 kepada Pegawai Pemeriksa Kastam sebagai 'pembayaran penyeliaan' atau 'belanja', bagi memastikan sebarang urusan pengisytiharan kastam berjalan dengan lancar.
Wang tersebut dikeluarkan bersama baucar pembayaran dengan catatan 'being cash payment for supervising fee, remarks : token of appreciation for smooth clearance of cargoes'. Walau bagaimanapun Defendan selanjutnya mengakui ia tidak menyerahkan keseluruhan jumlah tadi, tetapi hanya memberi BND20 kepada Pegawai Pemeriksa Kastam tersebut.
Pegawai Pemeriksa Kastam tersebut kemudiannya melaporkan perkara ini kepada pegawai atasannya yang menghasilkan pada penyiasatan dan pendakwaan kes ini.
Pada hari ini, Yang Arif Majistret Kanan Pengiran Hazirah binti Pengiran Mohd. Yusof menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara terhadap Argel Sanchez David dan menetapkan 27 Julai 2022 bagi menetapkan tarikh perbicaraan bagi Chin Chee Vun yang dilepaskan dengan ikat jamin Mahkamah.
Pihak Pendakwa diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Rozaimah binti Haji Abd Rahman, sementara Andrew J. Wong mewakili peguam bela tertuduh pertama, Argel Sanchez David dan Izzatul Afifah diwakili bagi peguam bela tertuduh kedua, Chin Chee Vun.
BMR mengingatkan orang ramai, bahawa menawarkan rasuah kepada mana-mana pegawai penguatkuasaan adalah satu kesalahan berat yang boleh dikenakan hukuman jika sabit bagi setiap kesalahan dengan hukuman maksima denda sebanyak BND30,000 dan pemenjaraan selama tujuh tahun.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]