Home > Bahasa Melayu
Perhalusi, Fahami Pelaksanaan Solat
August 11th, 2022 | 10:33 AM | 220 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Kira-kira 1,200 Pegawai Pelajaran dan Guru di bawah Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) seluruh negara menyertai Jerayawara Menghalusi Solat Mazhab Syafi'i, di Auditorium 1, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMP RIPAHS).
Jerayawara yang diadakan selama empat hari, bermula 8 Ogos hingga 11 Ogos 2022, dihadiri oleh Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Adanan bin Haji Basar selaku fasilitator.
Dalam taklimat yang bertajuk 'Menghalusi Tertib Solat Mazhab Al-Syafi'ie R.A'. Dr. Haji Adanan, antara lain memfokus utama mengenai rukun Fi'li, iaitu cara solat bagi mencegah kemungkaran.
Mendirikan solat dengan khusyuk, jelasnya, bukan saja mencegah pelakunya daripada keburukan dan kemungkaran, malahan akan sentiasa dalam reda Allah Subhanahu Wata'ala dan solat adalah waktu untuk berdoa dan mengadu pada-Nya kerana Allah Subhanahu Wata'ala itu dekat apabila waktu solat.
Turut disampaikan semasa sesi tersebut, antara cara-cara yang perlu diketahui dalam solat, iaitu cara berdiri tegak bagi yang mampu, cara menghadap kiblat dan cara memberikan sepenuh perhatian kepada ibadat solat dengan ikhlas serta memohon dijauhkan daripada gangguan syaitan.
Perbuatan sunat juga, menurutnya, perlu diketahui kaedahnya dan diamalkan, antaranya seperti diam sebentar, mengangkat dua belah tangan semasa solat, berdiri tegak sambil mendakap tangan, takbiratulihram, rukuk, sujud, sunat duduk istikharah, mengangkat jari telunjuk semasa tahiyat dan memusingkan kepala selepas selesai tahiyat akhir.
Selain itu ujarnya, tidak lupa untuk mengikut sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, iaitu dengan memakai pakaian putih kerana ia suci, bersih dan lebih bagus.
Jerayawara tersebut merupakan anjuran bersama Fakulti Syariah, KUPU SP, dengan kerjasama JPI, KHEU, antara lain bertujuan untuk meningkatkan tahap kefahaman peserta mengenai kewajipan melaksanakan solat fardu lima waktu dengan sempurna serta menghalusi segala rukun dan syarat solat fardu menurut Mazhab Syafi'ie dengan mengukuhkan ketakwaan peserta demi menjaga solat fardu lima waktu dan mendirikannya secara berjemaah bersama keluarga dan masyarakat.
Solat lima waktu merupakan satu kewajipan yang mesti dilaksanakan oleh setiap individu Muslim dan kewajipan menunaikan solat ini berkekalan serta tidak gugur daripada diri seorang mukalaf dalam apa jua keadaan kerana solat merupakan tiang atau asas kepada agama Islam selain merupakan amalan pertama yang akan dihisab oleh Allah di akhirat kelak.
Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai jerayawara berkenaan, bolehlah menghubungi Fakulti Syariah menerusi talian +673 8746317.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]