Home > Bahasa Melayu
MPK Mulaut Adakan Mesyuarat Khas Pemilihan Jawatankuasa Baharu 2021-2026
August 15th, 2022 | 09:32 AM | 679 views
KAMPUNG MULAUT
Majlis Perundingan Kampung (MPK) Mulaut telah mengadakan Mesyuarat Khas Pemilihan Jawatankuasa Baharu Bagi Sesi 2021 - 2026 yang berlangsung di Dewan Kuliah, Pusat Tingkatan Enam Sengkurong, di sini.
Hadir pada majlis tersebut, Pemangku Ketua Kampung Mulaut, Awang Hamizan bin Haji Mustafa, selaku Pengerusi MPK.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi MPK Mulaut, Awang Haji Abdul Hakip bin Haji Burut, selaku Pengerusi Majlis.
Pemangku Ketua Kampung Mulaut dalam ucapannya berkata, dengan adanya lantikan baharu jawatankuasa tersebut, penting bagi semua penduduk kampung bekerjasama dalam menjaga keamanan dan keselamatan kampung antaranya dengan melaporkan sebarang aktiviti atau individu yang mencurigakan, kegiatan jenayah, orang-orang yang dalam kesusahan, serta aktiviti meminta sedekah di kawasan perniagaan dan di tempat awam.
Selain itu ujarnya, para penduduk kampung hendaklah juga sentiasa menjaga nama baik kampung.
"Di samping itu, saya menyeru agar semua penduduk kampung sentiasa memberikan sokongan kepada aktiviti kampung seperti Tamu Bulanan Mulaut dan majlis berkebajikan.
"Saya juga mengharapkan agar para ahli Jawatankuasa MPK yang baharu dan takmir masjid terus bekerjasama dalam semua aktiviti kampung," katanya.
Mesyuarat khas tersebut diteruskan lagi dengan pembentangan Laporan Setiausaha MPK Mulaut dari tahun 2016 hingga 2021 mengenai perkembangan MPK berkenaan yang dibentangkan oleh Awang Haji Abu Bakar bin Haji Mohd. Don, dan Laporan Bendahari MPK Mulaut 2016 hingga 2021, disampaikan oleh Awang Haji Ismail bin Haji Yusof.
Acara disusuli dengan Majlis Pembubaran Jawatankuasa Sesi 2016 - 2021 secara rasmi dan Pemilihan Jawatankuasa Baharu Sesi 2021 - 2026.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]