Home > Breaking News
DPMM FC Tundukkan Nelayan FT, 8-0
August 29th, 2022 | 11:28 AM | 484 views
JERUDONG
DPMM FC meneruskan rekod kemenangan dalam aksi Piala FA Brunei selepas menumpaskan Nelayan FT dengan keputusan jaringan 8 - 0 pada perlawanan yang berlangsung di Jerudong Park Mini Stadium, malam tadi.
Berkenan berangkat menyaksikan perlawanan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Berangkat sama, anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim.
Babak pertama perlawanan menyaksikan DPMM FC lebih menguasai permainan dan berjaya menjaringkan gol menerusi Muhammad Azwan Ali Rahman pada minit ke-12.
Muhammad Shahrazen Said seterusnya berjaya menjaringkan gol kedua bagi DPMM FC pada minit ke-24, diikuti dengan jaringan Azwan Mohammad Saleh pada minit ke-35.
DPMM FC terus memberikan mimpi ngeri buat Nelayan FT apabila Muhammad Shahrazen Said sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-41.
Selang tiga minit kemudian, Azwan Mohammad Saleh dengan mudahnya menjaringkan gol sekali gus menambah satu lagi gol buat DPMM FC pada minit ke-45.
Babak kedua perlawanan menyaksikan DPMM FC terus mengawal permainan dan melakukan serangan demi serangan yang kemudiannya berjaya menjaringkan gol menerusi Azwan Mohammad Saleh pada minit ke-59.
DPMM FC semakin mengganas sekali gus menambah kegusaran Nelayan FT apabila Muhammad Shahrazen Said berjaya menambah satu lagi gol pada minit ke-64.
Dua minit masa tambahan dimanfaatkan oleh DPMM FC setelah berjaya menambah jaringan gol menerusi Muhd Nurikhwan Othman.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]