Home > Bahasa Melayu
Pelihara Perpaduan, Cegah Perpecahan
October 3rd, 2022 | 18:02 PM | 204 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung Sungai Besar, Kampung Serdang dan Kampung Sungai Belukut, Mukim Sungai Besar, diadakan di Masjid Serdang, di sini.
Calon yang layak dibawa ke Majlis Pengundian dan Pemilihan bagi jawatan Ketua Kampung berkenaan adalah calon tunggal, iaitu Leftenan Kolonel (B) Haji Zaini bin Haji Awang Damit, berumur 58 tahun semasa tarikh pencalonan.
Beliau bermastautin di Kampung Sungai Besar selama lima tahun sejak tahun 2017 dan memiliki kelulusan Diploma in Naval Staff Course dari United States Naval War College, pada tahun 1998.
Sebelum ini, beliau berkhidmat di Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Seramai 157 penduduk kampung daripada 173 orang yang berdaftar dan layak mengundi hadir mengundi calon.
Daripada jumlah tersebut, seramai 136 orang mengundi dengan kertas undi, manakala 21 orang menggunakan aplikasi mudah alih 'e-Undi PMKK'.
Seramai 124 orang bersetuju dan 10 tidak bersetuju, sementara dua undi rosak.
Pengundian dibuat secara pandu lalu menggunakan kertas undi yang dibukakan, pada jam 8.00 pagi dan ditutup jam 11.00 pagi.
Sementara itu, pengundian secara dalam talian melalui aplikasi mudah alih 'e-Undi PMKK' dibukakan, bermula 30 September 2022 dan ditutup juga, pada jam 11.00 pagi tadi.
Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim semasa menyampaikan ucapan memberitahu, antara peranan penting pemegang jawatan kampung adalah sebagai ketua dan pemimpin masyarakat di akar umbi para penduduk kampung, yang turut bertanggungjawab bagi menerajui perpaduan, keharmonian, kemakmuran serta kesejahteraan hidup bermasyarakat di sesebuah kampung dan penggerak pada pembaharuan, pembangunan dan perkembangan sosioekonomi masyarakat kampung.
Selain itu, jelasnya, Ketua Kampung juga bertanggungjawab mewujudkan budaya hidup berjiran dalam satu masyarakat pemedulian dan bersefahaman dengan cara mengawasi serta memelihara perpaduan dan keharmonian masyarakat, di samping mencegah unsur-unsur perpecahan.
"Perlu diingat Ketua Kampung mempunyai tanggungjawab yang besar dan memegang amanah, bukan sahaja amanah Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, bahkan jua amanah penduduk-penduduk kampung yang telah mengundi dan menyokong calon yang akan mengisikan jawatan Ketua Kampung yang berdasarkan kepada pilihan majoriti penduduk kampung yang berdaftar sebagai pengundi," katanya.
Keputusan Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua-ketua Kampung yang dijalankan pada hari ini akan dihadapkan ke Lembaga Perjawatan, Disiplin dan Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, KHEDN bagi proses selanjutnya.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]