Home > Bahasa Melayu
61 Warga JKR Tamat Kursus Fire Marshal
October 4th, 2022 | 12:34 PM | 314 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Seramai 61 peserta, terdiri daripada warga Jabatan Kerja Raya (JKR) menamatkan Kursus Fire Marshal, yang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), baru-baru ini.
Dua sesi dilaksanakan oleh Bahagian Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar, Jabatan Pentadbiran dan Kewangan, pada Jun dan Ogos lalu, manakala satu sesi lagi dijalankan pada September, khusus untuk Pegawai dan Kakitangan yang bertugas di Pejabat Autoriti Jambatan Brunei (Brunei Bridge Authority).
Sehubungan itu, Majlis Penyampaian Sijil dan Surat Lantikan Fire Marshal bagi Pegawai dan Kakitangan JKR disempurnakan oleh Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Ir. Awang Norazmi bin Othman selaku tetamu kehormat, di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat JKR, Jalan Landasan Lama, Berakas, pada Sabtu, 1 Oktober 2022.
Majlis dimulakan dengan bacaan Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah Pentadbiran dan Kewangan, JKR, Haji Amir Azman bin POKPSDP Haji Abd. Rahman selaku Pengerusi Majlis.
Beliau menekankan tujuan utama Kursus Fire Marshal bagi pegawai dan kakitangan, antaranya adalah untuk memberi pendedahan mengenai kepentingan pencegahan kebakaran di tempat kerja serta memahami tugas dan tanggungjawab seorang Fire Marshal.
Melalui kursus tersebut, para pegawai dan kakitangan akan lebih bersedia untuk bertindak dengan cara yang selamat dan teratur jika berlaku sebarang kecemasan atau kebakaran, di bangunan atau premis di bawah JKR.
Sebagai pengongsian maklumat di majlis berkenaan, satu sesi taklimat mengenai Kepentingan Pencegahan Kebakaran di Tempat Kerja, disampaikan oleh Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi 'C', JBP, Pengiran Azizul Rahman bin Pengiran Haji Yussop.
Majlis turut diselajurkan dengan pelantikan para peserta sebagai Fire Marshal untuk tempoh empat tahun sepertimana yang diiktiraf oleh JBP dan JKR.
Dengan adanya lantikan ini, JKR akan mempunyai satu pasukan bertindak atau Emergency Response Team (ERT) bagi membantu dalam aspek pencegahan kebakaran serta bersedia untuk bertindak jika berlaku kebakaran atau kecemasan di tempat kerja masing-masing, di bawah JKR.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]