Home > Bahasa Melayu
Laungan Dikir Semarakkan Maulidur Rasul
October 4th, 2022 | 12:43 PM | 292 views
JERUDONG
Kementerian Pendidikan melalui Institut Pendidikan Teknikal Brunei dan Jabatan Pengurusan Pendidik tidak ketinggalan dalam mengadakan Majlis Dikir sempena Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, bertempat di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Jerudong.
Seramai 90 pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan hadir ke majlis berkenan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Azman bin Ahmad.
Majlis berkenaan merupakan salah satu aktiviti tahunan Kementerian Pendidikan bagi sama-sama menyemarakkan lagi sambutan hari-hari kebesaran Islam di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan dengan jemaah masjid berkenaan.
Majlis dimulakan dengan Solat Fardu Maghrib, diikuti dengan penyerahan wakaf para pegawai dan kakitangan dari Kementerian Pendidikan kepada Imam Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Jerudong, Amaludin bin Haji Jamaludin, yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.
Majlis diteruskan lagi dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan bagi memulakan Dikir Khairuman.
Seterusnya majlis diserikan lagi dengan bacaan Doa Selamat untuk memberkati majlis dan diteruskan dengan Sayyidul Istighfar dan Selawat Tafrijiyyah yang diketuai oleh Imam Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.
Selepas menunaikan Solat Fardu Isyak Berjemaah, bacaan Dikir Marhaban dan Doa Dikir serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Imam Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Jerudong.
Turut menghadiri majlis berkenaan, Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam, Dr. Hazri bin Haji Kifle; Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal; ketua-ketua jabatan; para pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]