FacebookInstagramTwitterContact

 

Weather Update for Brunei Darussalam           >>           National Weather Briefing           >>           Digital Innovation Profile Co-Creation Workshop           >>           Cultural Research Methodology Workshop           >>           TAP & SCP Savings for Financial Year 2021-2022           >>           Berkenan Hantar Perutusan Tahniah           >>           Perutusan Tahniah Sempena Day Of German Unity           >>           Kumpulan Kedua Skuad B-17 Negara Berlepas Ke Uzbekistan           >>           MoUTingkatkan Kerjasama, Perkongsian Pengalaman           >>           Awangku Mohd. Syakir Ungguli Kejohanan Golf Amal Pusat Ehsan Ke-22           >>          

 

SHARE THIS ARTICLE




REACH US


GENERAL INQUIRY

[email protected]

 

ADVERTISING

[email protected]

 

PRESS RELEASE

[email protected]

 

HOTLINE

+673 222-0178 [Office Hour]

+673 223-6740 [Fax]

 



Upcoming Events





Prayer Times


The prayer times for Brunei-Muara and Temburong districts. For Tutong add 1 minute and for Belait add 3 minutes.


Imsak

: 04:40AM

Subuh

: 04:50AM

Syuruk

: 06:07AM

Doha

: 06:30AM

Zohor

: 12:10PM

Asar

: 03:23PM

Maghrib

: 06:11PM

Isyak

: 07:20PM

 



The Business Directory


 

 



Bahasa Melayu


  Home > Bahasa Melayu


Lumapas Kaya Dengan Fosil Batu Karang


DULI Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Timbalan Sultan dan Pro Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD) disembahkan taklimat ketika berkenan membuat lawatan di pameran Pesta Konvo UBD 2016.|FOTO : PELITA BRUNEI (Masri Osman)

 


 October 7th, 2016  |  09:53 AM  |   1063 views

TUNGKU

 

Khamis, 6 Oktober. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Timbalan Sultan dan Pro Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD) berkenan berangkat menyaksikan Pameran Pesta Konvo UBD 2016 di Learning Commons di Perpustakaan universiti berkenaan, di sini.

 

Pada pameran tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung untuk menyaksikan pelbagai pameran menarik yang mengetengahkan hasil usaha dan kreativiti para graduan dalam menonjolkan kebolehan, kreativiti, kemahiran, keusahawanan dan inovasi para graduan selain turut memberikan gambaran mengenai kegiatan akademik UBD bagi dari segi pembelajaran, penyelidikan atau perkhidmatan yang diharap akan dapat memberikan impak yang tinggi kepada masyarakat.

 

Antara pameran yang ditonjolkan ialah Pemetaan Industri Kreatif di Brunei Darussalam, Pirolisis spesies Acacia bagi penjanaan produk tambahan nilai seperti biobahan api dan produk-produk bio, menjana tenaga bioelektrik melalui tanaman, penjernihan air menggunakan 'activated carbon', fosil-fosil purba di Brunei Darussalam, SGRA, projek kolaborasi pertama mahasiswa-mahasiswi ASEAN (ASCP) dan gulingtangan robotik.

 

Dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial melalui hasil kolaborasi mahasiswa mahasiswi dan staf akademik di bawah Program Creative Arts telah menghasilkan satu Peta Industri Kreatif di Brunei Darussalam yang mana sebelum ini semua analisis data adalah berdasarkan anekdot dan komunikasi lisan sahaja, dan peta ini akan dapat menghasilkan satu analisis yang lengkap dalam konteks Brunei yang mana akan dapat memberikan manfaat kepada penggubal dasar, industri, artis dan para usahawan di samping memberikan impak penting dalam pewujudan strategi, dasar dan tindakan bagi industri kreatif di Brunei Darussalam.

061016 DPMM MASRI16

DULI Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Timbalan Sultan dan Pro Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD) ketika berkenan menyaksikan fosil yang dipamerkan melalui peralatan microskop di pameran tersebut.

 

Sementara itu, Institute of Biodiversity and Environmental Research mempamerkan projek Pirolisis spesies Acacia bagi penjanaan produk tambahan nilai yang bertujuan untuk menghasilkan biotenaga melalui penghasilan biobahan api dan produk-produk bio yang lain.

 

Ini dilakukan menerusi proses pirolisis biojisim daripada spesies Acacia yang tumbuh secara berlebihan di seluruh hutan Brunei Darussalam, di mana Acacia juga terkenal sebagai satu spesis invasif dan telah didapati menjadi satu ancaman yang serius bagi biodiversiti negara.

 

Projek itu akan menyediakan satu penyelesaian mesra alam menggunakan Acacia bagi menghasilkan biotenaga, yang akan dapat membantu mengurangkan kadar pengeluaran karbon dioksida kepada persekitaran, selain ianya juga akan membantu dalam usaha mempelbagaikan ekonomi negara dengan menyediakan peluang pelaburan baru dan pekerjaan.

 

Dalam usaha pencarian sumber tenaga hijau yang berterusan, penyelidik daripada Fakulti Sains dalam pameran mereka Menjana Tenaga Bioelektrik melalui Tanaman sedang mengkaji satu penyelesaian di mana tenaga dihasilkan dari tanam-tanaman hidup dengan cara yang setentunya mesra alam sekitar.

 

Bahan organik yang dihasilkan melalui fotosintesis sesuatu tanaman itu dapat disalurkan sebahagiannya kepada akar, dan secara semula jadi mikro organisma sekitar akar tersebut akan meruntuhkan sebatian organik ini untuk menghasilkan elektron sebagai satu produk sisa yang dapat dituai sebagai bekalan elektrik, tanpa menjejaskan atau memberi kesan negatif kepada tanaman tersebut.

 

Elektrik bersih itu boleh dihasilkan di seluruh dunia, dalam kawasan belakang rumah atau dalam mana-mana tanah lembap yang sesuai, termasuk kawasan padi.

061016 DPMM MASRI12

DULI Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Timbalan Sultan dan Pro Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD) disembahkan taklimat semasa berkenan membuat lawatan di pameran Pesta Konvo UBD 2016.

 

Manakala menerusi pameran projek penjernihan air menggunakan 'activated carbon' melalui hasil kolaborasi bersama Fakulti Sains menunjukkan demonstrasi bagaimana activated carbon dapat digunakan untuk menyucikan air yang berwarna.

 

'Activated carbon' adalah digunakan berdasarkan keporosannya yang tinggi, penyerapannya yang cepat dan kestabilan haba yang cemerlang.

 

Penggunaan 'activated carbon' dihasilkan dari arang buluh dan kajian morfologi, di mana pengimbasan mikroskopi elektron telah menunjukkan 'activated carbon' mempunyai nisbah luas permukaan kepada isi padu dan keporosan yang lebih besar berbanding dengan arang buluh.

 

Data dari 'energy-dispersive' sinar-X 'spectroscopy' dan belauan sinar-X selanjutnya juga menunjukkan komposisi kimia dan struktur hablur bagi kedua-dua 'activated carbon' dan arang buluh, selain 'activated carbon' juga menambah nilai kepada arang buluh dan proses penambahan nilai ini dicapai dengan peralatan yang khusus.

 

Oleh kerana sistem itu tidak memerlukan sumber tenaga luar (seperti elektrik), maka ia dihasratkan dapat membantu mereka yang tinggal di kawasan-kawasan pendalaman di mana sumber air yang bersih agak sukar diperolehi.

 

Projek tersebut juga turut merakamkan penghargaan terhadap usahasama Awang Muhammad Nasruddin bin Haji Sulaiman (penerima Sultan's Scholar, University of Oxford) sebagai pelajar penempatan sementara di CAMES dan Awang Suhardi bin Haji Mohd. Said (juruteknik makmal CAMES).

 

Turut menarik perhatian Duli Yang Teramat Mulia ialah Pameran fosil-fosil purba di Brunei Darussalam, yang mana turut diperjelaskan bahawa jalan yang paling biasa untuk belajar ekologi dan fisiologi organisma-organisma purba yang kini telah pupus adalah dengan menyiasat ekologi dan fisiologi saudara moden mereka.

061016 DPMM MASRI14

DULI Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Timbalan Sultan dan Pro Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD) disembahkan taklimat semasa berkenan membuat lawatan di pameran Pesta Konvo UBD 2016.

 

Fosil yang dikutip di Brunei setakat ini menggambarkan dua persekitaran yang berbeza: batu karang yang bercapuk-capuk dan dasar laut berlumpur yang cetek.

 

Terumbu fosil yang ditemui baru-baru ini di Lumapas adalah amat kaya dengan batu karang, span, landak laut dan telah menghasilkan pelbagai jenis 'microfossils' dan contoh endapan berlumpur yang kaya dengan fosil yang ada di rantau Tutong (Bukit Ambuk) mengandungi jumlah moluska, ketam, bangkai-bangkai ikan dan 'microfossils' yang luar biasa.

 

Ini juga membuktikan kekayaan Brunei dalam 'paleodiversity' kerana fosil-fosil yang ditemui itu belum pernah ditemui di tempat lain sebelumnya, dan penemuan ini akan dapat membenarkan kita mengkaji bagaimana biodiversiti Brunei telah berubah mengikut aliran masa dan pembinaan semula garis pantai Brunei, yang memberikan implikasi kepada pencarian minyak.

 

Manakala melalui hasil rekaan pelajar tahun dua, UBD School of Business and Economics yang bertajuk SGRA telah berjaya menghasilkan satu aplikasi pertolongan cemas yang mana akronim SGRA adalah diperolehi dari perkataan 'Segera', yang bermaksud cepat.

 

Konsep tersebut telah digunakan untuk satu aplikasi pertolongan cemas dan prototaip teknologi itu dapat disimpan di dalam sesebuah kenderaan dan direka untuk menghantar notifikasi segera kepada agensi penyelamat yang relevan sekiranya kenderaan itu terlibat di dalam sesuatu kemalangan atau situasi kecemasan yang lain, dan konsep itu telah memenangi tempat pertama dalam 2015 IGNITE Entrepreneurship Challenge Open Category pada November tahun lalu.

 

Sementara itu, menerusi Projek Kolaborasi Pertama Mahasiswa-Mahasiswi ASEAN (ACSP) dari Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa'adatul Bolkiah (PAPRSBIHS) Projek mengetengahkan projek kolaborasi yang pertama pernah dibuat bersama-sama semua institut perubatan utama di rantau ASEAN.

061016 DPMM MASRI18

DULI Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Timbalan Sultan dan Pro Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD) disembahkan taklimat mengenai gulingtangan robotik pada pameran Pesta Konvo UBD 2016.

 

Ia bertujuan untuk membina rangkaian persahabatan dan kolaborasi, meningkatkan mutu pendidikan perubatan dan penjagaan kesihatan dan saling membantu dalam pembangunan kapasiti, di samping bekerjasama sebagai satu masyarakat ASEAN dalam pembangunan pendidikan perubatan, penyelidikan dan program pertukaran.

 

Projek tersebut disertai oleh pelajar-pelajar perubatan dari 12 universiti dari negara-negara ASEAN, termasuk lima pelajar dari UBD dan diadakan di Bogor, Indonesia pada Julai 2016, yang mana setiap wakil negara telah melaksanakan dan menyampaikan projek kemasyarakatan masing-masing.

 

Dari Brunei, mahasiswa dan mahasiswi Perubatan PAPRSBIHS UBD telah mempamerkan projek kemasyarakatan mereka di mana mereka telah membantu satu masyarakat di Kampung Sukang.

 

Mereka menjalankan pemeriksaan kesihatan kepada masyarakat kampung dan mempromosikan kesedaran akan pentingnya gaya hidup sihat, yang dapat dicapai melalui permakanan sihat, aktiviti fizikal, kebersihan asas, pengurusan penyakit-penyakit tidak teruk dan yang kronik., selain itu mereka juga telah membantu menyediakan penduduk-penduduk kampung dengan kemahiran-kemahiran asas bantuan kehidupan.

 

Dan di akhir pameran turut mendapat tumpuan dan perhatian Duli Yang Teramat Mulia ialah projek Gulingtangan Robotik yang merupakan satu teknologi yang inovatif, yang direka untuk mensimulasikan seseorang yang sedang bermain alat-alat muzik tradisional.

 

Robot berkenaan dibina dalam masa sembilan bulan, yang mana tangan robot itu telah diprogam untuk bermain secara berterusan bagi membantu untuk meningkatkan dan mengekalkan kualiti persembahan.

 

Inovasi tersebut akan dapat membantu untuk menghalang kepupusan alat-alat muzik dan lagu-lagu tradisional dan seterusya dapat menukar perspektif generasi muda terhadap muzik tradisional.

 

Produk itu hasil daripada ujian dan kajian yang rapi, serta konsultasi dari pakar-pakar yang juga dihasratkan agar robotik itu akan dapat menjadi satu arah baru bagi generasi akan datang.

 


 

Source:
Ihsan PELITA BRUNEI

by Khartini Hamir

 

If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]

 

Related News


Bung Moktar Hoping For Mutual Gains In BN-GRS Cooperation In GE15

 2022-10-03 15:51:17

Indonesia: At Least 125 Dead In Football Stadium Crush

 2022-10-03 13:13:14

Credit Suisse Risk Gauge At Record High, Shares Hit New Low

 2022-10-03 16:47:21