Home > In The Court
Dipenjara Kerana Dadah
November 24th, 2022 | 11:28 AM | 1011 views
BELAIT
Seorang lelaki, warga tempatan, dijatuhkan hukuman tiga tahun dan tiga bulan penjara, di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.
Hukuman ke atas Muhammad Shafiq bin Abdullah dijatuhkan oleh Pemangku Majistret Kanan, Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid di Mahkamah Majistret, Kuala Belait, di sini.
Muhammad Shafiq, berumur 47 tahun, mengaku bersalah, dalam tiga pertuduhan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27, iaitu pertuduhan pertama defendan melakukan kesalahan memakan dadah terkawal Kelas 'A', Methylamphetamine, di bawah Seksyen 6 (b) Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27.
Bagi pertuduhan kedua, defendan juga melakukan kesalahan memakan dadah terkawal Kelas 'B', Ketamine, di bawah Seksyen 6 (b) Akta yang sama.
Manakala, pertuduhan ketiga pula, defendan didakwa melakukan kesalahan kerana memiliki peralatan bagi tujuan menghisap dadah, di bawah Seksyen 7 Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27.
Muhammad Shafiq ditangkap dalam serbuan yang dijalankan oleh Pegawai-pegawai Biro Kawalan Narkotik, (BKN), pada 23 April 2019, kira-kira jam 11.43 malam, di Jalan Lubok Palam, Kuala Belait.
Defendan dibawa bagi menjalani ujian air kencing, di mana hasil ujian air kencing tersebut mendapati positif Kelas 'A', Methylamphetamine dan Kelas 'B', Ketamine.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Abdul Wafi bin Haji Husain.
Dalam rekod, defendan juga mempunyai kesalahan yang lalu, di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]