Home > Bahasa Melayu
Usaha Gigih Pelajar SR YSHHB Dihargai
November 27th, 2022 | 07:03 AM | 167 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Seramai 109 pelajar dari Tahun 1 hingga Tahun 5 Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB) yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan akhir tahun 2022 diraikan dalam satu Majlis Penyampaian Hadiah dan Sijil Pelajar Terbaik Tahun 1 hingga Tahun 5, 2022 SR YSHHB yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah dan sijil-sijil kepada para pelajar, Ketua Pegawai Eksekutif Sekolah YSHHB, Mohamed Fliti Abdel Majid.
Pada majlis berkenaan, seramai lima pelajar dipilih menerima hadiah Pelajar Terbaik Keseluruhan yang terdiri daripada Nur Qisya Aqeela @ Qisya Aisya Umaira binti Abdul Razaq dari Tahun 1 Saturn; Khairun Nisa binti Rusli dari Tahun 2 Saturn; Khayra Huwaina binti Mohamad Helmme dari Tahun 3 Mercury; Muhammad Naeyl Raees bin Dr. Haji Norzaidi dari Tahun 4 Venus; dan Kasyfe Hakimy bin Mohamad Helmme dari Tahun 5 Jupiter.
Manakala lima pelajar menerima hadiah Special Progressive Award, iaitu pelajar yang dibantu oleh guru dalam Learning Support Centre sekolah yang menunjukkan kemajuan yang paling tinggi daripada aspek akademik.
Semasa berucap pada majlis berkenaan, Pengetua SR YSHHB, Dayang Hajah Mariam binti Haji Ladi antara lain menjelaskan, majlis berkenaan dianjurkan pada setiap tahun sebagai pengiktirafan dan penghargaan ke atas usaha gigih pelajar Tahun 1 hingga Tahun 5 hingga mereka mencapai keputusan yang terbaik.
Di samping itu tambah beliau, majlis berkenaan juga adalah sebagai sumber inspirasi, motivasi dan penggalak untuk semua pelajar dalam persediaan mereka untuk menghadapi peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) nanti.
Menurutnya, analisis keputusan peperiksaan akhir tahun 2022 menunjukkan keputusan yang baik dengan pelajar Tahun 1 menunjukkan kecemerlangan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Sains dan Melayu Islam Beraja (MIB) dengan peratus lulus melebihi 90 peratus dan bagi subjek English Language dan Matematik pula adalah di tahap baik, iaitu melebihi 85 peratus.
“Manakala peratus lulus subjek English dan Sains pelajar Tahun 2 menunjukkan kecemerlangan, iaitu melebihi 90 peratus.
“Pelajar Tahun 3, Tahun 4 dan Tahun 5 juga memperolehi 90 peratus lulus bagi empat subjek teras kecuali Matematik. Peratus lulus subjek Matematik ialah di bawah 75 peratus.
“Pihak sekolah akan terus mengatur strategi untuk meningkatkan pencapaian ini," ujar Dayang Hajah Mariam.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]