Home > Bahasa Melayu
Kenali Negara Kitani: Promosi Produk, Pakej Pelancongan Domestik
November 28th, 2022 | 13:09 PM |
106 views
SERIA
Bagi mempromosikan tempat-tempat menarik di negara ini, Karnival Kenali Negara Kitani sekali gus mempromosikan pelbagai produk dan pakej pelancongan domestik khususnya daripada pelbagai agensi pelancongan, perhotelan dan para penyedia perkhidmatan pelancongan sebagai persediaan bagi penggal cuti persekolahan bulan Disember tahun ini.
Sehubungan itu, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan menganjurkan Karnival Kenali Negara Kitani yang bermula pada 25 November dan berakhir pada 27 November 2022 bertempat di Pusat Insani, Seria.
Karnival Kenali Negara Kitani berkenaan diadakan dengan kerjasama Darussalam Enterprise (DARe) untuk mempromosikan produk tempatan khususnya syarikat mikro, kecil dan sederhana yang menyediakan pelbagai produk tempatan seperti makanan, minuman, fesyen, barang kosmetik dan kraf tangan.
Karnival berkenaan merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Kemajuan Pelancongan untuk mempromosikan kempen Kenali Negara Kitani yang pertama kali dilancarkan pada tahun 2006 yang diungkayahkan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk tempatan mengenai pelbagai produk pelancongan yang terdapat di negara ini.
Orang ramai yang berkunjung di Pusat Insani, Seria berpeluang membuat tempahan bagi pelbagai pakej istimewa yang ditawarkan sempena musim cuti persekolahan pada bulan Disember ini dalam menyokong industri pelancongan dan juga kepada pengusaha syarikat mikro, kecil dan sederhana.
Temu bual Pelita Brunei bersama Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Kemajuan Pelancongan, KSSUP, Muhammad Nazmi bin Mahali berkata, Jabatan Kemajuan Pelancongan dengan kerjasama DARe dan beberapa agensi pelancongan, perhotelan dan para penyedia perkhidmatan pelancongan (Tourism Service Providers) akan mengadakan Karnival Kenali Negara Kitani bagi mempromosikan pelancongan domestik sebagai persediaan bagi musim cuti persekolahan pada bulan Disember dan juga penggal cuti persekolahan akan datang.
Pada masa yang sama jelasnya, karnival berkenaan turut melibatkan pihak DARe yang mempromosikan inisiatif 'Bruneian Made'.
Objektif karnival diadakan adalah untuk menggalakkan rakyat dan orang ramai bercuti di dalam negara dan secara tidak langsung mempromosikan Negara Brunei Darussalam sebagai salah satu destinasi pelancongan.
Selain itu, ia juga dihasratkan untuk membantu hotel-hotel, agensi-agensi pelancongan dan para penyedia perkhidmatan pelancongan (Tourism Service Providers) yang akan mempromosikan pelbagai pakej istimewa sekali gus meningkatkan kadar jualan.
Pelbagai aktiviti menarik juga turut diadakan untuk orang ramai dan para pengunjung antaranya permainan interaktif seperti 'charades', 'mix and match', 'carnival games', kuiz, aktiviti mewarna dan banyak lagi.
Sebanyak 25 buah agensi dan syarikat menyertai Karnival Kenali Negara Kitani dengan 14 daripadanya terdiri daripada pelbagai agensi pelancongan, hotel dan para penyedia perkhidmatan pelancongan manakala sebanyak 11 syarikat di bawah DARe.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai dialu-alukan untuk melayari laman sesawang 'bruneitourism.com/knk' atau instagram '@info.bruneitourism'.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]