Home > Bahasa Melayu
63 Murid Sekolah Rendah Kapok Muara, Kluster 2 Diraikan
November 28th, 2022 | 13:16 PM | 186 views
BERAKAS
Seramai 63 murid Pra sekolah hingga Tahun 6 yang telah berjaya meraih Top 3 dalam kelas masing-masing diberikan penghargaan pada satu majlis yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, kelmarin.
Penyampaian penghargaan pada Majlis Building Excellent Students Together (B.E.S.T) Appreciation Night 2022 bagi pelajar-pelajar Sekolah Rendah Kapok Muara, Kluster 2, disempurnakan oleh Ketua Inspektorat Unit Inspektorat Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Bolkiah Garison, Kolonel Hajah Suriyati binti Haji Junaidi.
Dalam ucapan alu-aluannya, Guru Besar Sekolah Rendah Kapok Muara, Dayang Noor Faridah binti Haji Kasim antara lain mengongsikan objektif pelan pemulihan pembelajaran bagi sekolah rendah berkenaan iaitu untuk mewujudkan strategi pemulihan pembelajaran dalam jangka pendek, sederhana dan panjang, selain untuk mengumpul, menilai dan memantau keberkesanan pelaksanaannya.
Beliau berharap agar hasil daripada pelan pemulihan pembelajaran ini nanti akan mampu mengurangkan jurang pembelajaran, peningkatan hasil pembelajaran, peningkatan kehadiran pelajar, penggunaan data penilaian yang berkesan dan guru yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk melaksanakannya.
Dayang Noor Faridah berharap semoga perancangan dan langkah pantas Sekolah Rendah Kapok Muara dalam mengatasi kehilangan dan jurang pembelajaran pelajar ini mampu terlaksana dengan sempurna pada tahun hadapan (tahun 2023).
Pada majlis itu juga, 21 pelajar yang meraih kedatangan terbaik sepanjang tahun bagi setiap kelas menerima hadiah penghargaan masing-masing.
Majlis juga diselajurkan dengan penganugerahan Teachers Best Self Award 2022 kepada 41 guru yang telah berjaya meraih prestasi kerja yang cemerlang dalam empat bidang yang telah ditetapkan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]