Home > Bahasa Melayu
Program Perkhemahan Remaja A.C.E Tutup Tirai
November 28th, 2022 | 13:28 PM | 224 views
BERAKAS
Program Perkhemahan Remaja A.C.E (A-Active and Admirable, C-Charismatic dan E-Excellent) 2022 yang bermula sejak 24 November lalu menutup tirainya hari ini dengan penyampaian sijil kepada para peserta.
Perkhemahan yang dianjurkan bersama oleh Pusat Promosi Kesihatan, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan dan Majis AIDS Brunei Darussalam ini menyasarkan remaja berumur 12-15 tahun dan telah disertai oleh 35 pelajar dari lima buah sekolah menengah yang terpilih.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil-sijil pada majlis yang diadakan di Dewan Latihan, Perkampungan Sukan itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) Kementerian Kesihatan, Dr. Ang Swee Hui.
Pegawai Pelajaran Kesihatan, Pusat Promosi Kesihatan, Dayang Nurul Adilah binti Mahmud dalam ucapannya selaku Pengerusi Bersama Perkhemahan Remaja A.C.E 2022 antara lain menjelaskan, objektif utama perkhemahan diadakan adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kefahaman mengenai kepentingan mengamalkan cara hidup sihat.
Selain itu tambahnya, ia juga adalah untuk mendidik kemahiran hidup atau 'life skills' dalam teknik mengelakkan diri dari terpengaruh pada perkara-perkara yang berisiko dan kelakuan seks bebas serta mempromosikan teknik menahan diri atau 'abstinence' sebagai langkah terbaik untuk pertahanan diri mereka.
“Dengan adanya perkhemahan seperti ini ia akan dapat membantu mengurangkan kes-kes gejala sosial seperti kehamilan remaja. Selain itu juga, para peserta dapat menjalankan tanggungjawab mereka untuk mendidik dan berkongsi maklumat sesama rakan sebaya mereka," ujarnya.
Beliau mengongsikan, di Negara Brunei Darussalam (NBD), golongan remaja dianggarkan berjumlah 63,369 pada tahun 2021, iaitu hampir 15 peratus daripada jumlah penduduk di negara ini.
Merujuk data dari Jabatan Statistik, Kementerian Kesihatan jelasnya, pada tahun 2021 di NBD, lima punca tertinggi kematian dalam kalangan golongan ini adalah kanser, penyakit jantung, kemalangan jalan raya, Septicaemia dan penyakit hati.
“Walau bagaimanapun, beberapa data kesihatan di kebelakangan ini menunjukkan data yang membimbangkan keadaan kesihatan para remaja, terutama sekali faktor risiko yang berkaitan dengan kelakuan yang berisiko yang boleh membawa kepada masalah kesihatan termasuk kesihatan reproduktif seperti kehamilan dan jangkitan hubungan kelamin di usia remaja selain dari penggunaan tembakau dan masalah kesihatan mental," terangnya.
Majlis turut memuatkan tayangan video yang memaparkan aktiviti perkhemahan dan juga ucapan daripada wakil peserta perkhemahan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]