Home > Bahasa Melayu
Kedutaan Diraja Thailand Anjur Good Deeds From The Heart
December 2nd, 2022 | 09:59 AM | 151 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Bhumibol Adulyadej, Hari Kebangsaan Thailand dan Hari Bapa Thailand yang jatuh pada setiap 5 Disember, Kedutaan Diraja Thailand pagi tadi menganjurkan aktiviti Good Deeds from the Heart.
Aktiviti Good Deeds from the Heart diadakan di Pusat Perkembangan Kanak-kanak (CDC), Kampung Kiarong, di sini.
Hadir semasa aktiviti tersebut ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Boosara Kanchanalai serta pegawai, kakitangan dari Kedutaan Thailand dan masyarakat Thai di Negara Brunei Darussalam.
Pada aktiviti tersebut, Puan Yang Terutama menyampaikan sumbangan berupa bahan-bahan bacaan serta mainan bagi kanak-kanak di pusat berkenaan. Sumbangan turut disokong oleh Samima Sendirian Berhad.
Terdahulu, ketibaan PYT dialu-alukan oleh Konsultan (Pediatrik) CDC, Dr. Hajah Mawarni binti Haji Abd. Hamid.
PYT kemudian mengadakan lawatan ke Taman Permainan yang merupakan tempat kanak-kanak bermain serta tempat pihak CDC menjalankan penilaian dan terapi.
Setakat ini, sejumlah 10,944 pelajar berdaftar di pusat berkenaan sejak tahun 1998.
Sementara itu, Good Deeds from the Heart telah mula ditubuhkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia King Maha Vajiralongkorn Bodindradebayavarangkun untuk menubuhkan Sukarelawan Inisiatif Diraja sebagai penghormatan kepada mendiang Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Bhumibol Adulyadej dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Sirikit atas sumbangan mereka kepada negara Thailand.
Ia menggalakkan perpaduan dan kebahagiaan dalam kalangan rakyat, dan kestabilan negara secara keseluruhan. Inisiatif itu turut tersebar dalam memberi peluang kepada masyarakat Thailand di luar negara untuk melakukan sumbangan baik kepada masyarakat dan menyatakan rasa penghargaan mereka kepada negara yang mereka tinggal.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]