Home > Bahasa Melayu
Pemilik Kereta Terbiar Akan Diambil Tindakan
December 4th, 2022 | 16:50 PM | 352 views
TUTONG
Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Daerah Tutong dan Jabatan Bandaran Tutong mengadakan Operasi Bersepadu, hari ini untuk mengenal pasti kereta terbiar yang ditinggalkan di kawasan bangunan premis perniagaan Pekan Tutong.
Operasi Bersepadu diketuai oleh Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri dan telah mendapati beberapa buah kenderaan terbiar ditinggalkan di kawasan tinjauan.
Menurut Pegawai Tugas-Tugas Khas di Jabatan Daerah Tutong, Awang Mohammad Adi Asnawi bin Haji Awang Adanan semasa ditemu bual, kenderaan-kenderaan yang ditinggalkan akan diambil maklumatnya dan dirujuk kepada Jabatan Pengangkutan Darat, seterusnya pemilik-pemilik kenderaan tersebut akan diambil tindakan yang bersesuaian.
Sesiapa yang didapati tanpa kebenaran yang sah, meninggalkan, di atas mana-mana bahagian jalan raya atau di atas sebarang tanah lapang sesebuah kenderaan atau apa jua barang lain iaitu suatu barang yang telah dibawa olehnya ke tanah itu bagi maksud meninggalkannya di situ boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Perintah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil (Pindaan), 2021 peruntukan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil (Penggal 30) iaitu mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah bab ini, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang BND1,000 dan tidak melebihi BND3,000 bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang BND3,000 dan tidak melebihi BND9,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Manakala badan-badan korporat yang melakukan kesalahan pertama di bawah bab ini boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari BND2,000 dan tidak melebihi BND10,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari BND10,000 dan tidak melebihi BND30,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, dipohonkan kerjasama kepada orang ramai dan khusus kepada pemilik-pemilik kenderaan tersebut akan dapat mengambil perhatian serta mengambil tindakan yang bersesuaian dan mematuhi akta tersebut.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]