Home > Headline
89 Penuntut ISB Hadiri Taklimat Kenegaraan
January 5th, 2023 | 08:45 AM | 1119 views
SALAMBIGAR
Seramai 89 Penuntut Tahun 7 Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) menghadiri Program Taklimat Kenegaraan 'Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam', bertempat di Bilik Teater, sekolah berkenaan.
Dianjurkan oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, program itu merupakan salah satu usaha berterusan jabatan berkenaan dalam menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara, di samping dihasrat akan dapat mengukuhkan lagi semangat solidariti, patriotik serta kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut.
Berangkat sama menghadiri taklimat kenegaraan tersebut, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah binti Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.
Turut hadir, para tenaga pengajar sekolah berkenaan.
Taklimat Kenegaraan disampaikan oleh Ketua Unit Kemasyarakatan, Jabatan Penerangan, Awang Mohammad Azyzul Azman @ Rosman bin Yakub, antaranya menyentuh mengenai raja kita, tatacara menaik-kibarkan bendera negara, keadaan bendera negara yang dinaik-kibarkan, iaitu hendaklah dalam keadaan sempurna dan bersih, serta tidak koyak dan pudar warnanya, selain sejarah Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, 'Allah Peliharakan Sultan'.
Taklimat diakhiri dengan Penyampaian Hadiah kepada para penuntut yang berjaya menjawab Kuiz Kenegaraan yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]