Home > Bahasa Melayu
AJKTTP MBB Sesi 2023-2024 Dilantik
January 23rd, 2023 | 09:29 AM | 212 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Sebagai landasan bagi Majlis Belia Brunei (MBB) menyelaras pentadbiran, khususnya membincangkan dan menentukan rangka kerja; membubarkan serta melantik Ahli Jawatankuasa Tadbir Tinggi Pusat (AJKTTP); dan memperbaharui pergabungan pertubuhan, MBB telah mengadakan Kongres Agung Perwakilan (KAP) Kali Ke-7, kelmarin.
Kongres tersebut telah diadakan di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Lapangan Terbang Lama, Berakas.
Kongres yang dipengerusikan oleh Pengerusi Tetap Tertinggi bagi sesi 2021-2022, Dayang Aspadiyah binti Mohd Sah itu dihadiri oleh AJKTTP bagi sesi 2023 - 2024 yang diketuai oleh Dayang Khairunnisa binti Awang Haji Ash'ari selaku Yang Di-Pertua Majlis.
KAP turut dihadiri dua orang wakil daripada Jabatan Belia dan Sukan, dan seorang wakil daripada DBP, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku pemerhati.
Penolong Ketua Pegawai Belia dan Sukan, Awang Muhamamad Amirul Syazmie Ibrahim, kemudian dilantik sebagai Pengerusi Tetap Tertinggi Sementara oleh kongres bagi mempengerusikan agenda-agenda Pelantikan bagi Sesi 2023 - 2024.
MBB merupakan gabungan 27 persatuan, kumpulan dan pergerakan belia, di mana 23 daripadanya berpusat di Daerah Brunei dan Muara, satu di Daerah Belait, dua di Daerah Tutong, dan satu di Daerah Temburong.
KAP kali ini juga turut melantik AJKTTP MBB bagi Sesi 2023-2024, iaitu Dayang Khairunnisa, mewakili Green Brunei, selaku Yang Di-Pertua; Nurul Izyan Anver, mewakili Women TechMakers Brunei, selaku Timbalan Yang Di-Pertua; Muhammad Alif Mursidi mewakili Pergerakan Alumni Program-Program Antarabangsa, selaku Setiausaha Agung Tertinggi; dan Muhammad Khalid @ Muhammad Nurehsan bin Haji Mohin, mewakili Pergerakan Alumni Program-Program Antarabangsa, selaku Timbalan Setiausaha Agung Tertinggi.
Sementara itu, tugas Pengerusi Tetap Tertinggi diserahkan kepada Muhammad Wa'ie Al-Syafiiq Shafiee yang mewakili Pergerakan Alumni Program Belia Cinta Tanah Air; Raden Mas Muhammed Mukhriz bin Radin Mas Emran, mewakili Cope for Hope, dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Tetap Tertinggi; Izazi Jazilah binti Haji Mosli, mewakili AYAN Brunei, sebagai Bendahari Agung Tertinggi; dan Mohammad Nazib bin Haji Lamat, mewakili Pergerakan Alumni Program Belia Cinta Tanah Air, merupakan Timbalan Bendahari Agung Tertinggi.
Di samping itu, KAP juga meneliti perlembagaan MBB yang telah dikemaskinikan dan membentangkan laporan kerja juga kewangan MBB, serta membincangkan mengenai strategi dan aspirasi MBB sebagai satu badan yang menghubungkan persatuan di Negara Brunei Darussalam bersama pertubuhan rasmi di luar negara dan sebagai pusat rangkaian kerja bagi belia-belia di negara ini dalam peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]