Home > Bahasa Melayu
Goi Soon Chong Pilih Islam Sebagai Pegangan Hidup
January 23rd, 2023 | 09:36 AM | 257 views
KILANAS
Dakwah dan syiar Islam di Negara Brunei Darussalam terus berkembang apabila seramai 450 orang dicatatkan memeluk agama Islam di seluruh negara pada tahun 2022.
Daripada jumlah berkenaan, seramai 362 adalah terdiri daripada rakyat tempatan, manakala 88 orang lagi bukan tempatan.
Sehubungan itu petang tadi, seorang lelaki berbangsa Cina, berumur 59 tahun memilih Islam sebagai pegangan hidupnya dengan Majlis Pengislamannya yang berlangsung di Kampung Bebatik, Kilanas, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pengarah Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Awang Haji Abd. Rajid bin Haji Mohd Salleh.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Awang Haji Abd. Rajid, diikuti dengan lafaz dua kalimah syahadah oleh Awang Goi Soon Chong yang disempurnakan di hadapan pegawai dari Bahagian Pengembangan Da'wah, PDI.
Dengan sempurnanya lafaz dua kalimah syahadah berkenaan, beliau kini dikenali dengan nama Islamnya sebagai Muhammad Alex bin Abdullah Goi.
Menurut Muhammad Alex, keinginannya untuk menjadi seorang yang beragama Islam mula wujud di hati beliau sejak tiga tahun yang lalu dan kini sudah lebih 40 tahun berhijrah ke Negara Brunei Darussalam (NBD), dari tempat asalnya Kuching, Sarawak.
Dengan keindahan agama Islam yang menjadi agama rasmi dan dipraktikkan di NBD menjadikan beliau semakin tertarik dengan agama suci berkenaan.
Tambah Muhammad Alex lagi, pada tahun ini akan menjadi tahun pertama beliau merasakan sendiri pengalaman berpuasa Ramadan dan beliau tidak sabar untuk meraih pengalaman berkenaan dan seterusnya akan cuba mendalami lagi tentang agama Islam serta melaksanakan amalan dan kewajipan sebagai seorang Muslimin.
Acara diteruskan lagi dengan Dikir Marhaban, dan kemudiannya penyampaian cenderamata kepada mualaf yang diraikan dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]