Home > In The Court
Kejohanan Badminton UNIFIED Serlahkan Bakat Pemain
January 28th, 2023 | 11:41 AM | 405 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam (PBKBD) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Ko-kurikulum, Jabatan Pendidikan Khas dan Special Olympics Brunei Darussalam telah menganjurkan Kejohanan Badminton UNIFIED bagi semua sekolah menengah kerajaan di negara ini.
Unified Sports diinspirasikan oleh satu prinsip mudah, iaitu berlatih dan bermain badminton bersama, sebagai laluan pantas ke arah persahabatan dan kesefahaman.
Kejohanan Badminton UNIFIED menggandingkan seorang pelajar aliran perdana dan seorang pelajar yang mempunyai ketidakbolehan intelek dalam satu pasukan beregu badminton.
Dalam Unified Sports juga, pasukan-pasukan terdiri daripada peserta / pelajar yang mempunyai umur dan kebolehan yang sama.
Objektif kejohanan ialah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat umum mengenai hak sesama bagi orang kelainan upaya (OKU) dalam bidang sukan terutamanya sukan badminton.
Selain itu, ia juga untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pemain-pemain badminton yang berkelainan upaya, memberikan peluang dan pendedahan kepada penuntut yang mengikuti program Pra-Vokasional menampilkan bakat dan kebolehan masing-masing dalam sukan badminton, di samping untuk mencungkil bakat pemain-pemain muda untuk diserapkan mengikuti latihan seterusnya.
Sebanyak empat buah sekolah telah mendaftar untuk menyertai kejohanan tersebut, iaitu Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar (SMSAB), Sekolah Menengah Tanjong Maya (SMTM), Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali (SMSSA) dan Sekolah Menengah Sayyidina Ali (SMSA).
Kejohanan telah bermula pada 20 Januari 2023 menggunakan format 'round robin' bagi tujuh beregu lelaki dan empat beregu perempuan bertempat di Pusat Belia, di ibu negara.
Dalam Kategori Beregu Perempuan, juara disandang oleh pasangan Nur Eillinnia Jatah dan Siti Nur Saikyillah Atiqa Md Jefri dari SMTM.
Manakala pasangan Fatin Syazwani Muhammad Rijal dan Vivie Erna Merayu dari SMTM meraih naib juara. Nurul Shamima Shakirah Abdullah dan Rabiatul Dahlia Khairul Shafiee dari SMSAB pula memenangi tempat ketiga.
Bagi Kategori Beregu Lelaki, pasangan Md Adrian Shah Md Azrie dan Md Terry Abdullah Md Adri Shordy dari SMTM telah dinobatkan juara, diikuti pasangan Jespher Jalung Singa dan Zharfan
Syazwi Jaini dari SMTM yang meraih naib juara. Sementara itu, tempat ketiga dimenangi oleh Awangku Md Qawi Pengiran Haji Zainal dan Md Shahrazeen Samat dari SMSA.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Ko-Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Julaihi bin Haji Mohamad.
Juga hadir, Pemangku Ketua Unit Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Khas, Awang Eddy Fazlin bin Haji Amdan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]