Home > Bahasa Melayu
Penandatanganan MoU Penaiktarafan BGEC
February 7th, 2023 | 14:50 PM |
243 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang Republik Rakyat China menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai penaiktarafan Ekonomi Koridor Brunei-Guangxi (BGEC) pada 2 Februari 2023, sempena Mesyuarat Jawatankuasa Kerjasama Bersama BGEC JCC kali ke-3, yang diadakan secara atas talian di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini.
Menandatangani bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid, manakala bagi pihak Kerajaan Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang ialah Puan Yang Terutama Naib Gabenor Sui Guohua.
Turut menyaksikan penandatanganan tersebut adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, dan Gabenor Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Tuan Yang Terutama Lan Tianli.
MoU bagi penaiktarafan BGEC itu menandakan komitmen berterusan daripada kedua-dua pihak Kerajaan Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang untuk mengukuhkan lagi kerjasama dan perkembangan BGEC, yang mana telah ditubuhkan melalui MoU yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak semasa Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) pada 17 September 2014 di Nanning, Guangxi.
Mesyuarat BGEC JCC kali ke-3 ini mengiktiraf kemajuan yang telah dicapai dalam kerjasama BGEC, dan kerjasama ekonomi dan perdagangan yang berterusan dan semakin erat di antara Negara Brunei Darussalam dan Guangxi, serta pembangunan pelbagai projek-projek kerjasama di bawah rangka kerja BGEC.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]