Home > Bahasa Melayu
Presiden Republik Filipina Tiba Bagi Lawatan Negara
PRESIDEN Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Rodrigo Roa Duterte dialu-alukan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku Menteri Pengiring (kanan) ketika melalui tabik hormat Kawalan Barisan daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).|FOTO: PELITA BRUNEI (Azmah Haji Ahad)
October 17th, 2016 | 10:18 AM | 1275 views
BERAKAS
Ahad, 16 Oktober. - Presiden Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Rodrigo Roa Duterte berserta rombongan selamat tiba di negara ini bagi memulakan Lawatan Negara tiga hari bermula hari ini.
Ketibaan Tuan Yang Terutama Rodrigo Roa Duterte di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dialu-alukan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku Menteri Pengiring; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng dan seterusnya melalui tabik hormat dari Kawalan Barisan dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
Juga hadir bagi mengalu-alukan ketibaan TYT ialah Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Awang Mohd. Tawih bin Abdullah dan Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Awang Haji Mohd. Jammy bin Haji Muhd. Shah Al-Islam.
Negara Brunei Darussalam dan Republik Filipina sememangnya mempunyai hubungan persahabatan tradisi yang lama dan telah dikukuhkan lagi dengan termeterainya hubungan diplomatik yang dicapai pada tahun 1984.
Melalui persahabatan yang berkembang, kerjasama kedua-dua buah negara dalam pelbagai bidang telah mencapai kemajuan yang membuahkan hasil serta faedah yang ketara bagi rakyat masing-masing, selain menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini.
Malah hubungan kedua-dua buah negara merupakan satu contoh yang baik mengenai kesaksamaan, hubungan kerjasama yang bermanfaat dan keharmonian yang diwujudkan bersama.
Tuan Yang Terutama Rodrigo Roa Duterte adalah merupakan Presiden Republik Filipina yang ke-16.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Aimi Sani
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]