Home > Bahasa Melayu
Berangkat Menziarahi Jenazah Al-Marhumah Pengiran Babu Raja
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kerabat diraja yang lain berangkat menziarahi jenazah Al-Marhumah Yang Teramat Mulia Pengiran Babu Raja Pengiran Anak Hajah Besar binti Pengiran Anak Haji Metassan di Taman Seri Alam, Kampung Beribi Gadong. |FOTO: PELITA BRUNEI (Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah, Mohd. Sahrizal Haji Said)
October 17th, 2016 | 10:23 AM | 4110 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Ahad, 16 Oktober. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berangkat menziarahi jenazah Al-Marhumah Yang Teramat Mulia Pengiran Babu Raja Pengiran Anak Hajah Besar binti Pengiran Anak Haji Metassan di Taman Seri Alam, Kampung Beribi Gadong.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.
Juga berangkat, paduka-paduka adinda, putera-putera dan puteri-puteri Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta ahli kerabat diraja yang lain.
Al-Marhumah Yang Teramat Mulia Pengiran Babu Raja Pengiran Anak Hajah Besar telah mangkat di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha hari ini pada jam 5.45 pagi ketika berusia 88 tahun.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga bersama-sama menunaikan Sembahyang Jenazah Berjemaah yang diimamkan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Al-Marhumah Yang Teramat Mulia Pengiran Babu Raja Pengiran Anak Hajah Besar merupakan bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.
Al-Marhumah Yang Teramat Mulia Pengiran Babu Raja Pengiran Anak Hajah Besar telah berkahwin dengan Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam ibni Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman pada tahun 1943 dan dikurniakan dengan sembilan orang anak, 37 orang cucu dan 29 orang cicit.
Semasa hayatnya, atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Al-Marhumah Yang Teramat Mulia Pengiran Babu Raja Pengiran Anak Hajah Besar telah dikurniai gelaran 'Pengiran Babu Raja'.
Selain daripada itu, Al-Marhumah Yang Teramat Mulia Pengiran Babu Raja Pengiran Anak Hajah Besar telah dikurniakan dengan beberapa Bintang Kebesaran dan Pingat Kehormat antaranya, Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (D.K) (Dato Laila Utama); Darjah Paduka Seri Laila Jasa Yang Amat Berjasa Darjah Kedua (D.S.L.J) (Dato Seri Laila Jasa) dan Pingat Hassanal Bolkiah Sultan (P.H.B.S).
Al-Marhumah Yang Teramat Mulia Pengiran Babu Raja Pengiran Anak Hajah Besar sangat aktif dalam kegiatan kemasyarakatan dan kebajikan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Saerah Haji Abdul Ghani
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]