Home > Bahasa Melayu
Operasi Kelinga : Pastikan Perintah Pekerjaan 2009 Dipatuhi
March 22nd, 2023 | 08:08 AM | 60 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh menjalankan Operasi Kelinga 51/2023 dan 52/2023 di dua buah lokasi di kawasan Kampung Jerudong pada 16 Mac lalu, bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi oleh para majikan.
Pemeriksaan lokasi pertama dibuat ke atas sebuah restoran yang mendapati sebanyak dua kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan 2009 dilakukan oleh majikan, iaitu Bab 112 (2) Kesalahan Melanggar Syarat-syarat Lesen Pengambilan Pekerja Asing, iaitu dua orang pekerja yang berjawatan tukang masak dan pelayan, membuat kerja perkhidmatan sewa kerusi dan kem.
Pemeriksaan lokasi kedua dibuat ke atas sebuah kedai runcit yang didapati melakukan satu kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan 2009, yang dilakukan oleh majikan, iaitu Bab 112 (2) Kesalahan Melanggar Syarat-Syarat Lesen Pengambilan Pekerja Asing, iaitu seorang pekerja yang berjawatan buruh kedai membuat pekerjaan sebagai juruwang.
Jika sabit kesalahan, majikan yang menggaji boleh dikenakan denda kompaun sebanyak BND600 bagi kesalahan pertama dan BND900 bagi kesalahan kedua.
Bagi kesalahan ketiga ataupun jika gagal membayar denda kompaun, tindakan mahkamah akan diambil.
Sehubungan itu, Jabatan Buruh ingin mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti penyediaan kontrak pekerjaan dan pembayaran gaji tepat pada waktunya.
Para majikan adalah dinasihatkan untuk tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing dan melanggar akta di bawah Perintah Pekerjaan 2009.
Untuk makluman lebih lanjut, bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh melalui talian +673 2381848 (semasa waktu bekerja) atau +673 7298989 (di luar waktu bekerja).
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]