Home > Bahasa Melayu
Nilai Jumlah Perdagangan Keseluruhan 2022 Meningkat 35.0 Peratus​
March 22nd, 2023 | 08:10 AM | 99 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Jumlah perdagangan tahun-ke-tahun menurun sebanyak 1.8 peratus (%) daripada BND2,513.8 juta pada bulan Disember 2021 kepada BND2,468.6 juta pada bulan Disember 2022.
Penurunan berkenaan didorong oleh penurunan nilai import sebanyak 11.0% daripada BND1,016.6 juta kepada BND904.6 juta, terutamanya disebabkan oleh penurunan import bahan api galian khususnya minyak mentah sebagai input pengeluaran bagi industri petrokimia hiliran.
Manakala, jumlah eksport meningkat sebanyak 4.5 peratus tahun-ke-tahun daripada BND1,497.2 juta pada bulan Disember 2021 kepada BND1,564.0 juta pada bulan Disember 2022.
Ini terutamanya disebabkan oleh kenaikan eksport bahan api galian daripada BND1,226.1 juta kepada BND1,308.0 juta dalam tempoh yang sama.
Peningkatan eksport bahan api galian adalah didorong oleh peningkatan dalam nilai gas cecair asli (LNG) dan produk-produk petroleum.
Peningkatan eksport LNG adalah terutamanya disebabkan oleh kenaikan harga eksport sebanyak 43.3% daripada USD11.17 per MMBtu kepada USD16.00 per MMBtu.
Selain itu, eksport produk-produk petroleum mencatatkan peningkatan daripada BND521.5 juta kepada BND588.2 juta, dengan komoditi utama adalah bahan api diesel automotif.
Dari segi komoditi eksport, bahan api galian merupakan penyumbang utama eksport Negara Brunei Darussalam (NBD), iaitu sebanyak 83.6%, diikuti dengan bahan kimia (14.4%) dan jentera dan kelengkapan pengangkutan (0.7%).
Lima komoditi import utama pada bulan Disember 2022 adalah bahan api galian (63.6%), diikuti oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan (10.4%), bahan kimia (8.0%), makanan (6.9%), dan barang-barang keluaran kilang (6.2%).
Pasaran eksport utama pada bulan Disember 2022 adalah Jepun (30.0%), diikuti oleh Australia (22.3%), dan Singapura (13.6%). Komoditi eksport terbesar ke Jepun, Australia dan Singapura adalah bahan api galian.
Sumbangan terbesar rakan dagangan import adalah dari Malaysia (22.7%), diikuti oleh Republik Rakyat China (17.3%) dan Emiriah Arab Bersatu (14.5%), dengan bahan api galian sebagai komoditi import terbesar.
Kebanyakan import negara, iaitu sebanyak 61.2% adalah digunakan sebagai barangan perantaraan bagi pemprosesan, diikuti oleh barangan modal (35.2%) bagi operasi perniagaan dan barangan penggunaan (3.6%) bagi kegunaan isi rumah.
Bagi perubahan bulan-ke-bulan, berbanding bulan November 2022, jumlah perdagangan menurun sebanyak 13.6%, disebabkan oleh penurunan kedua-dua jumlah eksport dan import.
Penurunan bulan-ke-bulan bagi jumlah eksport adalah terutamanya disebabkan oleh penurunan eksport bahan kimia daripada industri petrokimia hiliran. Manakala penurunan bahan api galian adalah penyumbang utama kepada penurunan jumlah import.
Pengangkutan laut memberi sumbangan bahagian tertinggi bagi kedua-kedua eksport dan import yang berjumlah BND2,357.5 juta atau 95.5%. Ini diikuti oleh pengangkutan udara (BND81.1 juta atau 3.3%) dan melalui darat (BND30.0 juta atau 1.2%).
Bagi keseluruhan tahun 2022, nilai jumlah perdagangan adalah sebanyak BND32,198.5 juta, iaitu peningkatan sebanyak 35.0% berbanding BND23,855.5 juta pada tahun 2021.
Imbangan perdagangan meningkat kepada BND6,432.9 juta berbanding BND4,412.1 juta pada tahun 2021, iaitu meningkat sebanyak 45.8 peratus tahun-ke-tahun.
Peningkatan imbangan berkenaan adalah disebabkan oleh peningkatan jumlah eksport yang lebih tinggi sebanyak 36.7% kepada BND19,315.7 juta berbanding BND14,133.8 juta pada tahun 2021, walaupun jumlah import juga meningkat sebanyak 32.5% daripada BND9,721.7 juta (2021) kepada BND12,882.8 juta pada tahun 2022.
Peningkatan jumlah eksport dan import adalah terutamanya disebabkan oleh peningkatan bahan api galian.
Laporan Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa bagi bulan Disember 2022 boleh didapati melalui laman sesawang JPES di 'https://deps.mofe.gov.bn'.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]