Home > Bahasa Melayu
Kongsi Amalan Terbaik Industri Pemprosesan Makanan
March 22nd, 2023 | 08:25 AM | 148 views
BERAKAS
Pusat Standard Kebangsaan (NSC) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan kerjasama Autoriti Makanan Brunei Darussalam (BDFA) mengendalikan Program Sosialisasi PBD 38:2022 mengenai Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) bagi industri makanan di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan.
Program berkenaan diadakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai Piawaian Brunei Darussalam di bawah PBD 38:2022 – GMP terhadap industri pemprosesan makanan tempatan.
Standard berkenaan menyediakan panduan mengenai elemen-elemen penting bagi pengilangan makanan, di mana kebersihan dan keselamatan adalah penting bermula daripada ketika menerima bahan mentah, termasuk pengendalian bahan-bahan berkenaan dan pemprosesannya; pembungkusan dan penyimpanan bahan siap makanan yang diproses sehingga semasa penjualan atau pemasaran produk makanan yang diproses berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pengarah Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan selaku Pemangku Pengarah Pusat Standard Kebangsaan, Awang Allen On.
Semasa berucap, tetamu kehormat majlis antara lain menggariskan mengenai peranan penting NSC dalam memperkemaskan aktiviti pembangunan standard yang mematuhi standard serantau dan antarabangsa.
Beliau menambah PBD 38:2022 – GMP (Sektor Industri Makanan) berfungsi untuk memudahkan mereka yang terlibat dalam industri makanan untuk memenuhi keperluan keselamatan.
Dengan standard berkenaan, beliau menyatakan keyakinannya bahawa Negara Brunei Darussalam akan meraih pencapaian seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Industri Makanan (Food Industry Roadmap) dan salah satu matlamat Wawasan Brunei 2035, iaitu menjadi Ekonomi Yang Dinamik dan Mampan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BDFA, Dayang Wong Wai See selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, dalam ucapan alu-aluannya mengetengahkan mengenai peranan BDFA dalam memperkembangkan standard makanan bagi memastikan penghasilan makanan yang selamat untuk dimakan dan menfasilitasi perdagangan.
Beliau berkata, harapan BDFA adalah agar industri makanan tempatan atau para pengusaha akan mendapatkan pengiktirafan dalam mematuhi standard keselamatan makanan yang tinggi apabila melaksanakan elemen-elemen PBD 38:2022 (GMP – Industri Makanan) sebagai sebahagian daripada amalan terbaik harian mereka.
Taklimat pada program berkenaan disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat ll NSC, Pengiran Abdul Shahid bin Pengiran Haji Amir Bahar, yang antara lain menjelaskan mengenai peranan NSC dalam standard kebangsaan.
Manakala, Pegawai Teknikal BDFA, Pengerusi Kumpulan Kerja HACCP, Siti Nasreyah binti Haji Ahmed mengongsikan kandungan-kandungan PBD 38.2022 dan mengetengahkan elemen-elemen GMP dalam fasiliti pemprosesan makanan.
Program berkenaan dihadiri seramai 110 peserta terdiri daripada pihak-pihak berkepentingan daripada pelbagai jabatan kerajaan dan swasta khususnya syarikat pengilangan makanan, penyedia perkhidmatan dan institusi pengajian tinggi.
Di samping itu, dokumen PBD Dokumen 38:2022 juga dijual semasa acara berkenaan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]