Home > Bahasa Melayu
Mewujudkan Amalan Pertolongan Cemas Di Tempat Kerja
March 22nd, 2023 | 08:27 AM | 177 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Majikan dan penghuni (Occupiers) memainkan tanggungjawab penting di bawah Peraturan Pertolongan Cemas, iaitu melaksanakan penyediaan dan penyelenggaraan peti pertolongan cemas; pelantikan dan latihan pertolongan cemas (first aiders); penyediaan dan penyelenggaraan bilik pertama yang berkenaan; penyediaan dan penyelenggaraan bilik rawatan (first room) mengikut mana yang berkenaan; penyediaan dan penyelenggaraan kemudahan yang sesuai untuk rawatan kecemasan di dalam kawasan kerja; dan penyimpanan rekod rawatan pertolongan cemas untuk tempoh tidak kurang daripada lima tahun.
Perkara berkenaan ditekankan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sementara Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA), Dayang Nur Al-Ain binti Dr. Haji Abdullah pada Majlis Pelancaran Buku Panduan Mengenai Keperluan Pertolongan Cemas Di Tempat Kerja bertempat di Auditorium Utama, Aras Satu, Bangunan D&T, di sini.
Selain itu tambahnya lagi, peruntukan pertolongan cemas juga harus termasuk orang lain di tempat kerja yang boleh tercedera termasuk kontraktor, sukarelawan yang melakukan kerja tetap, pekerja yang dipinjamkan (loaned/seconded) dan pelawat.
Menurutnya lagi, buku panduan berkenaan juga menyediakan kandungan minimum peti pertolongan cemas yang disyorkan.
Namun katanya, tempat kerja juga harus menjalankan penilaian risiko / keperluan apabila menentukan sama ada kandungan dan jumlah bilangan peti pertolongan cemas yang diperlukan adalah mencukupi untuk digunakan oleh semua pekerja sekiranya berlaku kecemasan.
Peti pertolongan cemas tekannya, hendaklah mencukupi untuk disediakan di semua tempat kerja dan adalah penting bahawa ia dilengkapi dengan secukupnya, diselenggara dengan baik, kerap diperiksa, dilabel dengan jelas dan dikenal pasti, diletakkan di tempat yang terang dan mudah diakses serta diletakkan di bawah jagaan 'first aiders' terlatih terlebih dahulu yang dilantik oleh Occupiers.
Terdahulu, Dayang Nur Al-Ain menjelaskan, Peraturan Keselamatan dan Kesihatan (Pertolongan Cemas) Di Tempat Kerja atau Peraturan Pertolongan Cemas diwartakan secara rasmi pada tahun 2021, menandakan peristiwa penting dalam mempromosikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Nota Panduan Industri (IGN) yang disertakan katanya, berfungsi sebagai alat yang berharga untuk membantu tempat kerja mematuhi keperluan pengurusan pertolongan cemas dan lebih bersedia untuk sebarang kecemasan.
IGN berkenaan menurutnya, akan menjadi panduan dan rujukan untuk sebarang perkara mengenai pertolongan cemas termasuk pelantikan 'first aiders' di tempat kerja mengikut Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Di Tempat Kerja (Pertolongan Cemas) 2021.
Tambahnya lagi, ia juga bertujuan untuk memastikan peruntukan yang konsisten pengurusan pertolongan cemas di tempat kerja dan juga menambah keperluan sedia ada di bawah bab 82 Perintah Pekerjaan, 2009.
Selain itu ujarnya, IGN juga mengetengahkan cadangan untuk mewujudkan amalan pertolongan cemas yang baik di tempat kerja.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) Kementerian Pembangunan, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria selaku Pengerusi Lembaga Pengarah SHENA.
Pada majlis berkenaan, tetamu kehormat majlis juga menyempurnakan Pelancaran Buku Panduan mengenai keperluan pertolongan cemas di tempat kerja, dan seterusnya mengagih-agihkan buku panduan berkenaan kepada agensi-agensi yang terlibat.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]