Home > Bahasa Melayu
Projek Berkongsi Rezeki : Sedekah Ramadan 1444H / 2023M Ceriakan Penerima Sumbangan
March 30th, 2023 | 06:52 AM |
143 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Sebanyak 16 buah keluarga yang kurang berkemampuan dari dua buah sekolah iaitu lapan buah keluarga daripada Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajah Mariam, Serasa; dan lapan penerima dari Sekolah Menengah Awang Semaun menerima sumbangan melalui Projek Berkongsi Rezeki: Sedekah Ramadan 1444H / 2023M bagi Keluarga-keluarga Kurang Berkemampuan yang berlangsung di Ruang Legar, Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), kelmarin.
Turut menerima sumbangan derma ialah 18 pelajar anak-anak yatim Sekolah Menengah YSHHB.
Hadir menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada para penerima ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sekolah YSHHB, Awang Mohamed Fliti.
Juga hadir ialah Pengetua Sekolah Menengah YSHHB, Chong Li Chen, guru-guru sekolah serta para penerima sumbangan.
Terdahulu, dalam ucapan alu-aluan Pengetua SM YSHHB, antara lain menjelaskan, projek tersebut bertujuan untuk membantu meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan semasa di bulan Ramadan, dan dalam persiapan mereka untuk Hari Raya yang menjelang tiba.
Selain itu, tambahnya, projek itu juga bertujuan untuk menyemai amalan berkongsi rezeki dan menderma di kalangan pelajar-pelajar, sekali gus memberi pendedahan kepada pelajar untuk menyatakan simpati mereka terharap orang yang kurang bernasib baik terutamanya pada bulan Ramadan yang mulia ini dan sentiasa bersyukur dengan nikmat Tuhan.
Projek yang diadakan sejak 2012 itu, merupakan salah satu program pendekatan masyarakat SM YSHHB.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]