Home > Bahasa Melayu
Landasan Menuju Pelaksanaan Perintah Hukuman Jenayah Syariah
MENTERI Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman semasa memberi kata-kata nasihat dan berkongsi pengalaman sepanjang Yang Berhormat Pehin memegang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah. |FOTO: PELITA BRUNEI (Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah)
October 23rd, 2016 | 11:14 AM | 2465 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Sabtu, 22 Oktober. - Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman berkata, kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam pelaksanaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah sebagaimana baginda mempunyai wawasan dalam perkara itu.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, melalui Majlis Agama Islam bersama jentera agensi-agensi kerajaan, kehakiman dan Pejabat Peguam Negara, Unit Perundangan Islam, mahkamah, pihak polis dengan pihak penguasa, penguasa syariah akan bekerja ke arah itu dengan sebaik-baiknya,
''Kita adalah dalam landasan menuju ke arah pelaksanaan dan insyaaAllah dengan kerjasama yang rapat semua agensi kerajaan kerana perintah hukuman jenayah syariah itu bukanlah ia dilihat satu produk undang-undang syariah yang berasingan tetapi adalah produk undang-undang negara. Dan ia adalah 'law of the land'. Dan kerana itu kitani di Brunei unik dengan perkara ini dengan berkat kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengenai perkara ini,'' ujar Yang Berhormat pada Majlis Penghargaan mantan Panel Tetap Hakim Mahkamah Rayuan Syariah dan Mengalu-alukan Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Baharu dan Sambutan Awal Tahun Baru Hijrah 1438.
Menurut Yang Berhormat, kita dalam kumpulan orang perkhidmatan ugama dan kita harus ingat bahawa dalam perkhidmatan ugama sejarahnya adalah satu bumbung iaitu Jabatan Hal Ehwal Ugama kemudian ditubuhkan Jabatan Darul Ifta diletakkan di Jabatan Perdana Menteri, kemudian ada lagi Jabatan Kehakiman Negara yang di dalamnya termasuk Mahkamah-Mahkamah Syariah.
Tambah Yang Berhormat, semua ini perkembangan yang sangat menyenangkan bagi Brunei Darussalam dan perkembangan yang menyatakan tentang hakikatnya, bahawa perkhidmatan ugama itu bukanlah suatu yang berada di bahagian yang lain dalam perkhidmatan kerajaan di mana ia adalah perkhidmatan yang berada di tengah-tengah atau 'main stream' perkhidmatan kerajaan.
''Termasuklah undang-undang dalam hal ini, dan ini membuktikan bahawa kitani unik dalam melaksanakan perkara ini, tinggal lagi kita orang ugama yang terlatih disiplin iaitu banyak pendapat dan berfikir ke hadapan mengandaikan hipotesis-hipotesis dan sebagainya, satu disiplin yang baik. Yang mengikut pengalaman saya itulah yang menjadikan saya seperti sekarang ini. Disiplin sedemikian itu,'' ujar Yang Berhormat pada majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Bangunan Mahkamah Besar Brunei dan Mahkamah-Mahkamah Syariah, Jalan Stoney di sini.
Yang Berhormat menambah, adalah penting kita sebagai orang ugama dalam perkhidmatan ugama di mana juga kita berada kita memegang disiplin untuk tidak membawa-bawa orang awam dalam perkara khilafiyah ugama.
Terdahulu Yang Berhormat mengongsikan sangat beruntung dalam 15 tahun, kerana Yang Berhormat terus dilantik ke panel hakim dengan tidak mempunyai latar belakang kehakiman dan kerana itu alhamdulillah Yang Berhormat mendapat pelajaran di sana dan di sepanjang perkhidmatan di mana-mana ditugaskan akan mendapat pengalaman dan pengetahuan dan di sana sedaya upaya Yang Berhormat akan menyumbangkan apa yang terdaya dan sesuai munasabah.
Jelas Yang Berhormat, pada keseluruhannya kesannya ialah dari segi mahkamah kita cukup mempunyai kesediaan, hakim-hakim yang terlatih, berilmu dan yang penting mempunyai kewibawaan tetapi dalam masa kita mengembangkan sistem kehakiman syariah, kita memerlukan pengamal-pengamal undang-undang yang mengetahui undang-undang syariah.
Yang Berhormat berkata, di situlah cabaran yang paling besar untuk mengembangkan pengamal undang-undang sebanyak mana yang mungkin dan sebanyak mana pula pengalaman-pengalaman mereka untuk dikumpulkan menjadi pemangkin kepada perkembangan mahkamah syariah seterusnya.
Dalam konteks inilah, mengenai pelaksanaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013, kita lebih banyak bergerak mengikut landasan yang sebenarnya untuk mempersiapkan keperluan-keperluan yang benar-benar dapat menjamin dan meyakinkan kita melaksanakan perintah tersebut dalam keadaan yang sempurna.
Tambah Yang Berhormat, yang penting adalah pelaksanaan dan kita sangat rasional untuk menjadikannya sebagai suatu yang berjalan lancar, tidak menimbulkan sebarang gejolak-gejolak dan ini banyak bergantung kepada persiapan-persiapan di mana sejauh ini persiapan yang telah dirancangkan dan dilaksanakan sekira-kira apa yang dilihat yang diperlukan dalam pelaksanaan itu beberapa tahun dahulu melalui jawatankuasanya sudah ada.
Namun kata Yang Berhormat lagi, dalam 'checklist' yang dihadapi ada beberapa perkara lagi yang memerlukan dipenuhi keperluan-keperluan untuk persiapan itu, memerlukan untuk dipertajam atau ditambahkan umpamanya dari segi kemahiran pendakwaan, kemahiran penguatkuasaan dan keutuhan atau kekukuhan mahkamah.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Saerah Haji Abdul Ghani
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]