Home > Bahasa Melayu
Memastikan Kelancaran Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara
April 7th, 2023 | 12:26 PM |
356 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1444 Hijrah akan diadakan pada hari Jumaat malam Sabtu, 17 Ramadan 1444H bersamaan 7 April 2023 pada jam 9.00 malam bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
Tema bagi Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1444 Hijrah ialah 'Bersabar, Berikhtiar, Bertawakkal dan Berdoa Menghadapi Ujian Dengan Petunjuk Al-Quran'.
Antara pengisian acara ialah pemakluman keputusan Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1444 Hijrah dan keputusan Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Negara Anggota MABIMS Tahun 1444 Hijrah. Majlis juga akan diserikan dengan persembahan Peserta Terbaik Setiap Kategori.
Sehubungan itu, bagi memastikan kelancaran majlis, pagi tadi telah diadakan latihan penuh majlis tersebut.
Hadir sama menyaksikan latihan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1444 Hijrah; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani; Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi; dan Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi yang lain.
Bagi jemputan yang hendak menunaikan Sembahyang Fardu Isyak dan Sunat Terawih serta Witir, tempat sembahyang akan disediakan di ICC, iaitu di Press Conference Hall bagi jemaah lelaki dan Surau ICC bagi jemaah perempuan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]