Home > Sports
Piala CHSK_Badminton Cup Brunei Darussalam 2023 Buka Tirai
May 5th, 2023 | 08:20 AM | 254 views
TUTONG
Kejohanan Badminton Piala CHSK_Badminton Cup Brunei Darussalam 2023 kali ke-6 membuka tirainya malam tadi di Sekolah Chung Hwa Kiudang, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan acara perasmian kejohanan tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri.
Para peserta terdiri daripada 17 pasukan dengan 17 pemain dalam setiap pasukan, yang berjumlah lebih 100 peserta untuk bersaing dalam tujuh kategori berbeza. Pasukan yang bertanding ialah Honey Carsmart, SSI, Wcat One, Kiudang Nike, AIA BR-Kelvin Pong, Smash Blockers dan Kimcars.
Kategori tersebut termasuk Beregu Lelaki Bawah 18 Tahun, Beregu Campuran Bawah 18 Tahun, Beregu Lelaki Terbuka, Perseorangan Lelaki Terbuka, Beregu Wanita Terbuka, Beregu Campuran Terbuka dan Beregu Lelaki Veteran.
Kejohanan yang diadakan bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-39 Tahun itu, bermula dari 4 hingga 7 Mei 2023, merupakan kejohanan keenam anjuran CHSK_Badminton.
Kali pertama kejohanan diadakan ialah pada Disember 2020, diikuti dengan kejohanan kedua dan ketiga yang diadakan pada Mac 2021 dan Julai 2021 dengan penyertaan oleh paduka-paduka anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah yang menduduki tempat pertama sebagai Johan bagi kedua-dua kejohanan pada Mac 2021,dan Julai 2021.
CHSK_Badminton telah menerima banyak sokongan daripada pelbagai jabatan, sektor kerajaan dan swasta, Ketua Kampung Kiudang, Awang Haji Saifulbahri bin Haji Umarali, Ahli Jawatankuasa (AJK) Sekolah Chung Hwa Kiudang, AJK CHSK_Badminton dan sukarelawan serta peserta dan vendor kejohanan.
CHSK_Badminton berharap untuk terus menganjurkan dan mengendalikan lebih banyak kejohanan badminton seterusnya dan dapat mengembangkan kejohanan ke peringkat antarabangsa dan diharapkan lebih ramai yang berminat dan menyertai bukan sahaja kejohanan badminton, tetapi juga acara sukan lain pada masa akan datang.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]