Home > Sports
Perasmian Sukan SEA Ke-32, Phnom Penh, Kemboja Penuh Gilang-Gemilang
May 6th, 2023 | 07:42 AM | 491 views
CAMBODIA
Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-32, 2023, membuka tirainya dengan penuh gilang-gemilang dan berwarna-warni malam tadi bertempat di Morodok Techo National Stadium, di sini.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NBD) berkenan berangkat ke Majlis Pembukaan Rasmi Sukan SEA Ke-32, 2023.
Negara Kemboja buat pertama kalinya menjadi tuan rumah bagi temasya sukan yang terbesar di Asia Tenggara ini.
Awang Mohd Ali Saifullah bin Haji Mohd Suhaimi iaitu atlet Pencak Silat diberikan penghormatan sebagai pemegang bendera NBD bagi acara baris lalu para kontinjen negara semasa upacara majlis pembukaan berkenaan.
Seramai 10,890 orang delegasi yang terdiri daripada atlet-atlet dan pegawai-pegawai daripada 11 negara-negara Asia Tenggara menyertai temasya sukan dwi tahunan berkenaan yang mempertandingkan sebanyak 36 sukan yang mengandungi 579 acara.
Upacara Pembukaan Rasmi Sukan Asia Tenggara Ke-32, 2023 dirasmikan oleh Perdana Menteri Kemboja, Tuan Yang Terutama Samdech Techo Hun Sen.
Ucapan alu-aluan disampaikan oleh Presiden Cambodia National Olympic Committee (CNOC), Tuan Yang Terutama Dr. Thong Khun, selaku Pengerusi SEA Games Federation (SEAGF) dan seterusnya ucapan alu-aluan kedua oleh Pengerusi Cambodia SEA Games Organising Committee (CAMSOC), Samdech Pichey Sena Tea Banh.
Pemangku Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Zainab binti Haji Morshidi selaku Chef de Mission mengetuai kontinjen NBD seramai 100 orang terdiri daripada 35 Pegawai Urus Setia / jurulatih / perubatan dan 65 atlet daripada 12 jenis sukan, iaitu Aquatics Swimming; Athletics; Badminton; Billiards & Snooker; E-Sports; Fencing; Karatedo; Obstacle Race; Pencak Silat; Petanque; Weightlifting; dan Wushu.
Upacara berkenaan dimeriahkan lagi dengan Parade of Nations 11 negara-negara Asia Tenggara dan persembahan yang menampakkan budaya dan masyarakat Kemboja dengan bertemakan 'Sports Live In Peace' yang juga memberikan makna 'The Kingdom will win the hearts of people of Cambodia by inspiring confidence and hope through its commitment in ensuring peace and galvanizing support for our sporting heroes in giving their very best'.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]