Home > Sports
3 Atlet Negara Sertai Kejohanan Demonstrasi Teqball
May 7th, 2023 | 08:12 AM | 268 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Seramai tiga atlet Persatuan Teqball Brunei Darussalam akan menyertai Kejohanan Demonstrasi Teqball pada Sukan Asia Tenggara (SEA) Ke-32, Phnom Penh, Kemboja 2023 yang dijadualkan pada 6 Mei hingga 8 Mei 2023.
Kejohanan ini merupakan acara penting bagi komuniti Teqball di seluruh Asia Tenggara. Dua atlet akan menyertai Kategori Beregu Lelaki iaitu Awang Abdul Hadi bin Saidin dan Awang Mohammad Aliffuddin bin Jamaludin.
Manakala seorang atlet akan bertanding dalam Kategori Perseorangan Lelaki, Awang Muhammad Azri bin Abdul Harith. Mereka akan bersaing dengan atlet dari negara lain dalam usaha untuk memenangi pingat dalam kejohanan itu.
Ketua Jurulatih Teqball Negara Brunei Darussalam, Haji Muhammad Isa bin Haji Abu Bakar melahirkan rasa bangga dengan penyertaan atlet negara dalam kejohanan ini. Beliau percaya kejohanan ini akan memberi pengalaman berharga kepada atlet dan mengharumkan nama negara.
Awang Mohamad Salleh bin Haji Tuah akan membantu Ketua Jurulatih Kebangsaan dalam menyediakan atlet untuk kejohanan tersebut.
“Kami amat berbangga dengan penyertaan atlet kami dalam kejohanan ini. Kami percaya atlet kami telah membuat persiapan yang baik dan dapat memberikan persembahan terbaik di gelanggang," ujar Ketua Jurulatih Teqball Negara Brunei Darussalam, Haji Muhammad Isa.
Dynamic Sports, sebuah syarikat peralatan sukan terkemuka di negara ini telah menaja penyertaan para atlet dalam kejohanan itu. Sokongan mereka amat dihargai dan sudah pasti akan membantu para atlet dalam persiapan mereka menghadapi kejohanan.
“Penyertaan atlet Negara Brunei Darussalam dalam Kejohanan Demonstrasi Teqball di Sukan SEA Kemboja Ke-32 adalah satu pencapaian yang membanggakan bagi negara kita. Persatuan Teqball Brunei Darussalam berharap penyertaan ini akan memberi inspirasi kepada peminat teqball di Brunei," tambah Presiden Persatuan Teqball Brunei Darussalam, Awang Mohammad Shukri bin Haji Damit.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]