Home > Bahasa Melayu
12 Pegawai Urusan Haji Berlepas Ke Tanah Suci
May 26th, 2023 | 08:37 AM |
150 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Penerbangan pertama jemaah haji Negara Brunei Darussalam dijangka akan bertolak pada 4 Jun ini nanti diikuti beberapa penerbangan seterusnya dengan jumlah keseluruhan 1,000 kuota yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi.
Selain jumlah tersebut, beberapa orang pegawai juga ditugaskan demi kelancaran pengurusan para jemaah termasuk serombongan 12 pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji (PUJH) Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada empat pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji Pentadbiran dan lapan Pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji Perubatan yang bertolak ke Arab Saudi sekitar jam 6.45 petang tadi dengan menaiki pesawat BI 097.
Hadir bagi mengucapkan selamat belayar di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Pemangku Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Rombongan berkenaan diketuai Ketua Pejabat Urusan Jemaah Haji (Pentadbiran), Awang Haji Abdullah bin Haji Mohammad bertolak ke Arab Saudi bagi membuat persiapan-persiapan awal bersama pihak-pihak berkenaan di Arab Saudi mengenai pengurusan hal ehwal haji sebelum ketibaan jemaah haji negara ke Tanah Suci.
Juga hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan serta pegawai-pegawai kanan dari KHEU dan Kementerian Kesihatan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]