Home > School
UNISSA Lantik PAS Baharu
September 13th, 2023 | 08:24 AM | 3326 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Persatuan Akademik Siswazah (PAS) dibentuk sebagai wadah dalam mewujudkan satu pasukan pelajar yang terdiri daripada kalangan siswazah Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang bekerjasama secara aktif khususnya dalam menghidupkan pelbagai aktiviti ilmiah yang dianjurkan oleh UNISSA dan Pusat Pengajian Siswazah (PPS) secara teratur dan terancang.
Perkara ini telah ditekankan oleh Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal selaku tetamu kehormat semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pembubaran Persatuan Akademik Siswazah (PAS) Sesi Akademik 2022 / 2023 dan Penyerahan Surat Lantikan PAS Sesi Akademik 2023 / 2024, baru-baru ini.
Majlis Rasmi Pembubaran Ahli PAS yang lama dan lantikan ahli-ahli yang baharu ini merupakan kali ketiga seumpamanya pernah diadakan.
Seramai lima ahli baharu telah menerima surat lantikan mereka dalam majlis tersebut yang terdiri daripada lantikan Yang Di-Pertua, Timbalan Yang Di-Pertua, Setiausaha, Penolong Setiausaha dan Bendahari.
Pemilihan telah dilakukan menerusi proses pengundian terbuka yang dikendalikan oleh PPS untuk suatu tempoh yang ditetapkan.
Turut hadir, Pengarah PPS UNISSA selaku Pengerusi Majlis, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, Penolong-Penolong Rektor dan Pegawai-Pegawai Utama UNISSA.
Terdahulu majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Di-Pertua PAS Sesi Akademik 2022 / 2023, Awang Ahmad Shafie bin Haji Mohd. Adnan, diikuti dengan pengumuman keputusan undian Ahli-ahli PAS Sesi Akademik 2023 / 2024 dan penyerahan sijil penghargaan PAS Sesi Akademik 2023 / 2024 dan penyerahan surat lantikan kepada Ahli-ahli PAS Sesi Akademik 2023 / 2024 yang baharu. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]