Home > School
Fekim UNISSA Terima GIFA
September 16th, 2023 | 07:01 AM | 3220 views
DAKAR
Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm) sekali lagi melakar detik yang bersejarah apabila untuk kali keempat telah dianugerahkan 'Global Islamic Finance Award (GIFA)' bagi Kategori GIFA Market Leadership Award 2023 (Education in Islamic Banking and Finance).
Pada tahun ini, acara GIFA Ke-13 diadakan di King Fahd Palace Hotel, Dakar, Senegal yang juga turut dihadiri oleh Presiden Republik Senegal, Tuan Yang Terutama Macky Sall.
GIFA yang dianugerahkan oleh Cambridge International Finance Advisor, United Kingdom merupakan satu anugerah paling berprestij dan dihormati dalam dunia perbankan dan kewangan Islam global.
Pada setiap tahun, GIFA telah juga menganugerahkan anugerah perbankan dan kewangan Islam kepada pihak kerajaan, institusi-institusi dan juga individu-individu dari seluruh pelosok dunia di atas sumbangan yang luar biasa serta mampu menunjukkan prestasi cemerlang dalam menyumbang kepada kemampanan bidang perbankan dan kewangan Islam.
Pada kali ini, FEKIm UNISSA telah pun dianugerahkan Global Islamic Finance Award (GIFA) bagi Kategori GIFA Market Leadership Award 2023 (Education in Islamic Banking and Finance).
Hadir untuk menerima anugerah tersebut ialah Dekan FEKIm UNISSA, Dr. Muhammad Zaki bin Haji Zaini dan Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, UNISSA, Dr. Mohammad Hilmy Baihaqy bin Haji Awang Yussof.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Chairman of Global Islamic Finance Awards, Dr. Humayon Dar, sambil disaksikan oleh tetamu kehormat majlis, Presiden Republik Senegal, TYT Macky Sall.
Penganugerahan GIFA untuk kali keempat ini menjadi satu mercu tanda bagi FEKIm sebagai sebuah fakulti yang menawarkan program pengajian kewangan Islam yang bertaraf antarabangsa.
Penganugerahan ini adalah satu pengiktirafan kepada UNISSA khususnya FEKIm yang memainkan peranannya dalam melahirkan graduan yang mampu memacu ke arah kemajuan ilmu perkembangan kewangan Islam, di samping salah satu langkah signifikan dalam mencapai visi UNISSA ke arah menjadikan UNISSA sebagai hab pengajian Islam di rantau ini.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]