Home > Sports
Kontinjen Judo NBD Harumkan Nama Negara
Foto : Ihsan Persekutuan Judo Kebangsaan Brunei Darussalam
December 13th, 2023 | 13:53 PM | 6760 views
PULAU PINANG, MALAYSIA
Atlet-atlet Persekutuan Judo Kebangsaan Brunei Darussalam (BDNJF) berjaya meraih dan membawa pulang satu pingat emas, satu pingat perak dan tiga pingat gangsa pada Kejohanan Judo Jemputan Pulau Pinang 2023.
Atlet-atlet judo negara yang mengharumkan nama negara iaitu Awang Md. Farid bin Bujang yang merangkul satu pingat emas bagi kategori Lelaki Veteran bawah 73 kilogram, manakala Awang Norhidayat bin Abdul pula berjaya membawa pulang pingat perak bagi kategori Lelaki Veteran (B) bawah 66 kg.
Pingat-pingat gangsa pula dimenangi oleh Awang Md. Nur Hafizzan bin Kadir bagi Kategori Lelaki Veteran (B) bawah 73kg, Dayang Hajah Nuruljannah binti Haji Md. Zamari bagi Kategori Wanita Veteran (B) bawah 57kg dan Awang Md. Wajdi Wa'ie @ Wafi bin Khairul Shaffarani bagi Kategori Lelaki Veteran (B) bawah 66kg.
Kejohanan Judo Jemputan Pulau Pinang 2023 yang telah berlangsung di Dewan Bankuet Sunshine Square, Pulau Pinang, Malaysia pada 9 hingga 10 Disember 2023, baru-baru ini.
Dalam temu bual bersama Pengurus Pasukan dan Jurulatih BDNJF, Awang Md. Ali Rashid bin Haji Md. Alipah, mengatakan bahawa semua anggota pasukan yang bertanding telah memperolehi pengalaman yang sangat bernilai.
“Pertandingan itu juga telah meningkatkan keyakinan anggota-anggota yang bertanding terhadap latihan dan pembangunan mereka dalam sukan judo.
“Kami berada di landasan yang betul selepas mendapat pandangan daripada rakan-rakan judo kami dari organisasi yang berbeza," ujar beliau lagi.
Awang Md. Ali Rashid juga seterusnya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan dan juga Mitsubishi Corporation di atas sokongan mereka.
BDNJF telah menghantar seramai enam atlet ke Kejohanan Judo Jemputan Pulau Pinang 2023 yang diketuai oleh Pengurus Pasukan dan Jurulatih-jurulatih BDNJF, Awang Md. Ali Rashid and Awang Chong Chee Kiong.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Nurhamiza Haji Roslan
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]